Rafizi tanya adakah Rosmah tinjau kerja naik taraf jet baru?
Adakah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak - Datin Seri Rosmah Mansor - pergi ke Amerika Syarikat Disember lepas untuk meninjau kerja-kerja menaik taraf jet eksekutif baru kerajaan, Airbus ACJ320?
Ini adalah soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan yang juga setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Rafizi menegaskan bahawa jet eksekutif kerajaan sekarang, dengan nombor pendaftaran 9M-NAA, telah singgah di Indianapolis selama enam hari selepas PM pulang lebih awal ke Malaysia untuk meninjau bencana banjir.
Bencana banjir itu telah memaksa PM memendek percutian di Hawaii akhir tahun lalu.
Najib terbang ke Hawaii untuk bercuti bersama keluarga menggunakan jet eksekutif itu tetapi tanpa Najib, jet itu kemudian ke Indianapolis dan singgah di beberapa lokasi sebelum kembali ke Malaysia, kata Rafizi.
Katanya, tidak boleh ada alasan bahawa jet sekarang, 9M-NAA, singgah di Indianapolis untuk dinaik taraf kerana kerja-kerja menaik taraf untuk sesebuah jet mengambil masa tiga hingga empat bulan.
Spekulasinya, tegas Rafizi, ialah Rosmah adalah orang yang berada dalam 9M-NAA dan bahawa beliau ke Indianapolis dan menginap di sana selama enam hari untuk menyelia kerja-kerja menaik taraf dan pembaharuan.
Rafizi juga menjelaskan bahawa perjanjian sewa beli untuk jet baru Airbus ACJ320 ditandatangani pada 1 Disember, yang bermakna, ia telah ditauliahkan pada masa Najib dan keluarganya ke Hawaii di mana fotonya bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, telah dirakamkan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.