BERITA

Majlis akad nikah anak perempuan Najib esok

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Mac 2015, 11:17 tengahari

Anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor, Nooryana Najwa, akan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya Daniyar Kessikbayev, minggu ini.

Jurucakap dan wakil keluarga perdana menteri bagi majlis pertunangan dan pernikahan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata majlis akad nikah akan berlangsung esok (19 Mac) di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana di Putrajaya.

Jamil Khir yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini berkata upacara akad nikah akan disempurnakan sendiri oleh Najib.

Beliau berkata perdana menteri dan isteri bersama-sama keluarga Daniyar akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan di Kuala Lumpur dan juga di Pekan, Pahang.

Antara tetamu kenamaan yang dijangka hadir ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah; Raja-Raja Melayu; Yang Dipertua Negeri; menteri-menteri besar; ketua-ketua menteri; menteri-menteri Kabinet; timbalan-timbalan menteri; pegawai kanan kerajaan; ahli-ahli politik; ahli-ahli korporat dan pemimpin masyarakat.

Selain itu beberapa pembesar dan pemimpin dari luar negara juga dijangka hadir.

Nooryana Najwa, 27, menamatkan pengajian di Georgetown University, Washington pada 2011 dan kini berkhidmat dengan sebuah syarikat "Venture Capital".

Beliau mengenali Daniyar, 27, yang berasal dari Kazakhstan ketika masing-masing menuntut di Amerika Syarikat.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.