Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PPMM: Pendirian Badan Peguam bercanggah perlembagaan

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyifatkan pendirian Badan Peguam Malaysia mengenai hudud sebagai bercanggah dengan perlembagaan.

Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar persatuan itu terganggu dengan pendirian Badan Peguam Malaysia mengenai perkara itu yang terkandung dalam kenyataan medianya bertajuk "Hudud is Unconstitutional, Discriminatory and Divisive" pada Jumaat lepas.

"PPMM terkejut dan amat bimbang dengan pendirian Badan Peguam Malaysia, yang PPMM percaya, tidak mencerminkan pandangan majoriti anggota Badan Peguam Malaysia.

"Dan lebih-lebih lagi apabila isi kandungan siaran media itu sendiri nampaknya mencerminkan pendapat yang tidak mengikut perlembagaan," kata Zainul Rijal ( kiri ) dalam kenyataan hari Sabtu.

Beliau berkata PPMM percaya kelemahan asas pendirian Badan Peguam Malaysia terbit daripada pendapat salah bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah bersifat sekular dalam konteks strukturnya.

"Sekalipun siaran media Badan Peguam Malaysia mungkin betul apabila menyatakan tiada satu pun sebutan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membayangkan mengenai negara Islam bersifat teokratik, begitu juga tidak ada sebutan dalam Perlembagaan yang membayangkan mengenai sebuah negara sekular yang lengkap," kata Zainul Rijal.

Dewan Undangan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang memperuntukkan pelaksanaan hukum Hudud ke atas orang Islam apabila dikuatkuasakan.

Langkah itu menimbulkan bantahan daripada parti-parti politik serta kalangan perundangan dan entiti lain.

Zainul Rijal berkata pihak yang mengemukakan pendapat bahawa Perlembagaan Persekutuan bersifat sekular, akan pantas menyatakan sokongan kepada pendapat itu yang terbit daripada keputusan Mahkamah Agung dalam kes "Che Omar bin Che Soh" pada 1988.

"Analisis yang berhati-hati terhadap penghakiman akan membuktikan bahawa kes 'Che Omar bin Che Soh' tidak menyokong pandangan itu dalam apa cara pun," kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen
ADS