Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menegur pihak imigresen negeri ekoran kegagalan bertindak menangani pendatang haram, terutamanya daripada Filipina.

“Jabatan telah pun dimaklumkan berhubung masalah pendatang haram berasal daripada Filipina sejak tahun lalu, tetapi gagal bertindak terhadapnya,” katanya dalam sambutan hari perhutanan negeri di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

“Kita tidak mahu masalah pendatang haram di Sabah berakar umbi di Sarawak pula.

“Jangan biarkan masalah kecil membarah dan menjadi sukar ditangani kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata telah memberi arahan supaya golongan itu ditahan dan dihantar pulang segera ke negara masing-masing.

Adenan juga mengingatkan supaya semua pihak “jangan main-main dengannya” dalam isu itu kerana beliau bertindak atas kepentingan rakyat Sarawak.

“Saya tak boleh lakukan seorang diri, saya perlukan kerjasama dan kamu mesti bekerjasama.

“Jangan ada yang elak tanggungjawab, jangan bertengkar soal bidang tugas. Ini tanggungjawab bersama,” katanya.