Phahrolrazi letak jawatan PAS untuk aktif PasMa
Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa)n Datuk Phahrolrazi Zawawi percaya keputusannya tidak mempertahankan jawatannya yang dipertua PAS Kuala Kedah membolehkannya aktif tanpa sekatan parti.
Keputusannya itu selaras dengan arahan PAS dan majlis syuranya agar pemimpin parti itu tidak melibatkan diri dengan PasMa, lapor Utusan Malaysia.
“Saya menghormati arahan itu.
"Kalau tidak, nampak macam saya tidak dengar arahan pula,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Beliau bagaimanapun berkata masih kekal sebagai ahli PAS.
Jawatan tersebut diisi oleh Datuk Amiruddin Hamzah yang menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung tahunan PAS Kuala Kedah, semalam.
Sementara itu, Phahrolrazi berkata pihaknya kini akan memberi tumpuan untuk meredakan ketegangan dalam Pakatan Rakyat ekoran perbalahan tentang isu hudud.

