Ulama PAS: Kenapa lepas 6 tahun mahu nak pecah?
Dewan Ulama PAS mempersoalkan kenapa Pakatan Rakyat harus berpecah kerana perbezaan pandangan dalam isu hudud sedangkan daripada awal lagi perkara itu sudah diketahui.
“Ketika penubuhan Pakatan tahun 2009 sememangnya undang-undang jenayah Islam bukannya perjuangan yang disepakati bersama.
“Maka kenapa perlu berpecah hari ini selepas enam tahun kerana perkara yang sememangnya tidak disepakati dari awal lagi?
” soal Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman.
Katanyam DAP dan PKR sendiri sedar bahawa PAS tidak mungkin menggugurkan hudud sebagai perjuangan mereka ketika Pakatan ditubuhkan.
PAS juga, katanya, daripada awal sedar bahawa kedua-dua sekutu mereka itu tidak akan menyokong perlaksanaan undang-undang itu.
“Undang-undang jenayah Islam sememangnya perjuangan PAS sahaja dan bukannya perjuangan DAP dan PKR dan bukan perjuangan bersama Pakatan, sebagaimana ia juga bukan perjuangan Umno dan BN,” katanya.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau mengingatkan bahawa walaupun berbeza pandangan dalam isu itu, mereka tetap berkongsi pandangan untuk “menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta ketidakadilan"
.
“Maka tidak ada sebab untuk Pakatan berpecah kerana Hudud!” katanya.

