Mahu rumah mampu milik wajib isi borang SPRM
Semua pemohon rumah mampu milik di Terengganu diwajibkan untuk mengisi lampiran borang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai syarat baharu permohonan.
Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata prosedur baharu itu adalah usaha kerajaan negeri memastikan maklumat pada borang permohonan adalah benar dan tiada unsur penipuan sama sekali.
"Saya ada menerima aduan individu tidak layak juga berjaya memiliki rumah mampu milik yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemohon. Ini juga menimbulkan persepsi negatif kepada kerajaan negeri.
"Jadi mereka yang telah melakukan penipuan ketika mengisi borang permohonan akan diserahkan untuk siasatan SPRM dan dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.
Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Perundingan Integriti Negeri Terengganu (MPINT) di Kuala Terengganu, Ahad.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong.
Ahmad Razif berkata peraturan baharu itu akan berkuat kuasa pada kadar segera dan tidak menolak kemungkinan syarat itu akan diperluas ke permohonan lain seperti wang ihsan, dana bakti dan sebagainya.
"Kami juga mengalu-alukan sebarang aduan dan laporan mengenai penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai kepada MPINT," katanya.
- Bernama

