Singapura berkabung hingga Ahad
S'pura berkabung hingga Ahad
Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengisytiharkan tempoh berkabung negara dari Isnin (23 Mac) hingga Ahad (29 Mac)berikutan kematian bapanya, perdana menteri pengasas Singapura, Lee Kuan Yew pagi ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, sebagai tanda penghormatan, bendera negara di semua bangunan kerajaan dikibarkan separuh tiang mulai hari ini hingga Ahad.
Upacara keluarga akan diadakan pada hari ini dan esok (Selasa 24 Mac) di Sri Temasek, kediaman rasmi perdana menteri.
Jenazah Kuan Yew akan ditempatkan di bangunan Parlimen mulai Rabu (25 Mac) hingga Sabtu (28 Mac) untuk orang ramai memberikan penghormatan terakhir.
Mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir di bangunan Parlimen boleh berbuat demikian antara pukul 10 pagi dan 8 malam.
Upacara pengebumian negara akan diadakan pada pukul 2 petang, 29 Mac (Ahad) di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura.
Upacara itu akan dihadiri anggota keluarga mendiang Kuan Yew, rakan-rakan dan kakitangan, presiden, menteri kabinet, anggota Parlimen, barisan kepimpinan lama, kakitangan kanan kerajaan dan para pemimpin masyarakat.
Upacara itu akan diikuti dengan pembakaran mayat di tempat pembakaran Mandai.
Buku dan kad ucapan takziah disediakan di hadapan Istana, di pintu pagar utama, mulai hari ini hingga Ahad, untuk mereka yang ingin mencatatkan penghargaan mereka terhadap mendiang Kuan Yew.
Buku takziah juga akan dibuka di semua pejabat perwakilan untuk rakyat dan rakan-rakan Singapura di luar negara.
Orang ramai juga boleh merakamkan ucapan takziah dan berkongsi catatan kenangan mengenai Kuan Yew dalam laman web rasmi http://www.rememberingleekuanyew.sg.
Kuan Yew meninggal dunia pada pukul 3.18 pagi di Hospital Besar Singapura. Beliau berusia 91 tahun.
Mendiang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi hospital itu pada 5 Feb kerana radang paru-paru teruk.
Dilahirkan pada 16 Sept 1923 di Singapura, Kuan Yew yang dikenali sebagai pengasas atau bapa Singapura modern, mengetuai kerajaan lebih tiga dekad, menjadikannya antara perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Komunikasi dan Informasi berkata, Hsien Loong dijadual membuat ucapan kepada negara pada pukul 8 pagi.
Ucapannya disiarkan secara langsung oleh MediaCorp TV dan stesen-stesen radio SPH dan SAFRA serta online.
Siaran itu juga boleh diikuti melalui www.channelnewsasia.com dan www.toggle.sg.
- Bernama

