Legasi Lee Kuan Yew akan tetap terpelihara dan terpahat dalam sejarah Singapura hasil usaha mendiang dalam mentransformasikan republik itu sehingga menjadi sebuah negara maju, moden dan dinamik kini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

Ketika menyampaikan ucapan takziah berikutan kematian pengasas Singapura moden itu, beliau berkata Kuan Yew telah melakukan pelbagai usaha sebagai pengasas dan Perdana Menteri selama 31 tahun di negara itu.  

    

"Selain daripada itu, ketokohan mendiang amat tersohor di rantau ini dan di seluruh dunia. Dunia kehilangan seorang yang mempunyai kemampuan untuk menyumbang daya fikiran beliau dalam banyak hal," kata Najib, ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, di Johor Bahru, hari ini.

    

Najib, yang juga Menteri Kewangan itu turut berharap agar Singapura dan Malaysia mampu melihat ke hadapan dan terus melakar sejarah antara kedua negara dalam membawa hubungan kedua-dua negara dan seluruh rantau ini ke arah lebih maju dan berjaya.

    

Ketika ditanya sama ada landskap politik kedua-dua negara bakal berubah dengan pemergian Kuan Yew, beliau mengakui tidak akan ada banyak perubahan.

"Saya tidak nampak banyak berubah sebab saya lihat Perdana Menteri sekarang (Lee Hsien Loong) ini mempunyai hasrat untuk mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Singapura," kata Najib.

    

Beliau berkata meskipun terdapat cabaran dan masalah perbezaan pendapat, ini tidak bermakna kedua-dua negara tidak boleh mencari jalan untuk terus meningkatkan hubungan kedua-dua negara bagi kebaikan rakyat kedua-dua negara.

    

"Banyak usaha-usaha yang kita sedang lakukan seperti penyelesaian beberapa Perjanjian antara kedua-dua negara, rancangan kita untuk mengadakan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura, pembangunan Iskandar dan lain-lain lagi menunjukkan bahawa kita mampu mengeratkan hubungan," kata beliau.

    

Kuan Yew meninggal dunia pada 3.18 pagi hari ini di Hospital Besar Singapura, selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu sejak 5 Feb kerana radang paru-paru yang teruk.

    

Beliau berusia 91 tahun.

    

-Bernama