Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Rakyat mahu merujuk Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan Dewan Rakyat kerana didakwa melanggar keistimewaan anggota Parlimen.

Anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini menghantar notis kepada speaker dewan supaya Khalid dirujuk bagi menentukan sama ada beliau melanggar keistimewaan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ( bawah ).

Ini susulan tangkapan dibuat terhadap naib presiden PKR itu di rumahnya sebelum ini.

Notis itu diterima oleh pejabat speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Pakatan kini sedang menunggu keputusannya.

Bukan anggota Parlimen boleh dirujuk ke jawatankuasa itu jika dianggap melanggar keistimewaan seseorang anggota dewan.

Nurul pada 16 Mac ditangkap bawah Akta Hasutan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara berkenaan siasatan berhubung perhimpunan Kita Lawan sebelum itu.

Khalid berkata Nurul juga ditahan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat minggu sebelumnya yang turut menyentuh tentang sistem kehakiman negara.

Penangkapan itu dipertikai oleh pemimpin PKR atas alasan Nuruk dilindungi oleh kekebalan anggota parlimen berdasarkan Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan.

Siasatan ke atas Nurul dijalankan susulan laporan polis bekas anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin ( atas ) terhadap tindakan Nurul membacakan sebahagian daripada ucapan bapanya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persidangan Dewan Rakyat.

Kandungan ucapan itu antara lainnya mengkritik hakim yang mensabitkan Anwar dengan kesalahan Liwat II.

Menurut Zulkifli, Nurul antaranya berkata hakim akur pada kehendak tuan politik, menjual diri kepada syaitan dan memilih kekal dalam kegelapan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS