Laporan kos faedah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang dibuat kerajaan dijangka siap pada awal Julai depan sebelum ia dibentangkan ke Kabinet dan Parlimen.

    

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan hanya akan membuat keputusan sama ada akan menyertai perjanjian itu selepas Kabinet dan Parlimen meluluskannya.

    

"Kerajaan akan ambil pendekatan untuk teruskan perkara ini (bentangkan ke Parlimen) dan kita sedar rakyat menuntut ketelusan dan oleh itu semua kajian yang kita laksanakan akan dibentang di Parlimen untuk dibahaskan.

    

"Kita akan buat keputusan berdasarkan kajian ini sama ada kita wajar menyertai perjanjian ini atau tidak," katanya semasa menggulung perbahasanan usul menjujung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong peringkat kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

    

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang dirundingkan oleh negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik -- Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Berkenaan spekulasi harga ubat-ubatan yang dikatakan akan melambung naik jika Malaysia menandatangani perjanjian itu, Mustapa berkata ia juga masih dalam rundingan dan tiada persetujuan dicapai dengan cadangan negara lain berkaitan harga produk itu.

    

"Banyak spekulasi mengenai harga ubat akan naik. Tapi ia sebenarnya tidak ada persetujuan dan Malaysia masih pertahankan bahawa kita belum bersetuju dengan cadangan berkaitan ubat," katanya.

    

Beliau berkata TPPA juga tidak akan mengurangkan peluang pekerjaan di negara ini sebaliknya akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan baru berikutan pelaburan baharu dari negara-negara terlibat.

    

Anggota Parlimen Jeli itu berkata, jika ditandatangani TPPA mungkin akan memberi kesan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, namun kerajaan telah mencadangkan tempoh 10 tahun diberikan kepada sektor sensitif sebelum pasaran dibuka sepenuhnya.

    

Persidangan dewan bersambung hari ini.

    

-Bernama