Setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli menuntut agar perdana menteri mengarahkan anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memulangkan semula dana sebanyak RM4 bilion yang didakwa dipinjam dari kerajaan.

Katanya, syarikat SRC International Sdn Bhd perlu membayar balik jumlah tersebut yang dipinjam dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) serta-merta.

“Saya menyeru supaya Perdana Menteri dengan segera mengarahkan agar SRC International Sdn Bhd memulangkan serta-merta setiap satu sen dari RM4 bilion wang KWAP yang dipinjam sebelum ini.

“Bagi tahun kewangan terkini, SRC International Sdn Bhd telah mengalami kerugian sebanyak RM164 juta dan tanpa sebarang perolehan.

“Ini bermakna sebarang kegiatan oleh syarikat ini tidak menjana sebarang pendapatan sedangkan ia mempunyai hutang sebanyak RM4 bilion yang dipinjam dari KWAP,” katanya.

SRC merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika wang itu dipinjamkan kepada mereka.

Dana itu digunakan untuk melabur dalam syarikat tenaga Mongolia.

SRC kemudian diserap sebagai entiti milik penuh kementerian kewangan.

Kerajaan pusat menjadi penjamin untuk pinjaman itu.