Ketika siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap menteri dikatakan selesai dalam tempoh 24 jam, PKR membangkitkan perkara sebaliknya.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil ( bawah ) berkata sekarang ini mereka yang ditahan untuk siasatan terpaksa menunggu berjam-jam untuk pegawai penyiasat tiba atau memulakan siasatan.
Naib ketua Pemuda PKR (AMK) itu juga berkata siasatan juga menelan belanja dan masa apabila ramai anggota polis dikerah untuk membuat tangkapan.
Dalam kes Eric Paulsen, beliau mendakwa polis mengerahkan kira-kira 20 orang anggota polis untuk menangkap peguam hak asasi manusia itu.
“Malah ada juga kos dari segi persepsi umum terhadap PDRM dan kerajaan Umno-BN,” kata.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, polis tidak menahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Mashitah Ibrahim, seperti sering dikenakan pada pemimpin pembangkang, kerana kenyataan mereka dirakam dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat.
Zahid ( kiri ) memberitahu demikian di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) kenapa pemimpin-pemimpin Umno tidak ditahan berhubung kenyataan kontroversi mereka.
Dalam kenyataannya hari ini Fahmi mencadangkan supaya Zahid Hamidi berbincang dengan pihak polis supaya proses siasatan dilakukan secara lebih berkesan.
Ini katanya, termasuk proses merakamkan kenyataan melalui telefon.
Perkara itu, katanya dapat dibuat jika ia dimasukkan dalam Peraturan Tetap Ketua Polis Negara (IGSO).
Menyentuh penjelasan Zahid terhadap siasatan pada Ismail dan Mashitah, Fahmi berkata jawatan itu “amat menarik dan kreatif”.
