IGP: Ancaman media sosial ubah lanskap pencegahan
Ancaman media sosial hari ini mengubah landskap tindakan punitif dan pencegahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang selari dengan cabaran semasa yang dilihat semakin kompleks.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata penularan ancaman ekstremisme dan radikalisme serta hak kebebasan bersuara yang digunakan bagi 'menghalalkan' perbuatan atau kenyataan berbaur hasutan di laman sosial bukan isu yang boleh dipandang remeh.
Sebaliknya ia memerlukan pendekatan yang lebih tegas dalam memastikan pencegahan secara holistik, tambahan apabila isu yang dimainkan melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.
"Isu utama yang perlu dihadapi PDRM hari ini antaranya hasutan di laman sosial, penyebaran ajaran sesat, kumpulan pelampau agama, pengganas dan liberisme. Fahaman politik dan agama yang cenderung kepada ekstremis dan radikal adalah penyumbang ancaman keganasan dari dalam dan luar negara yang mampu mengganggu-gugat perpaduan nasional kita.
"Isu perkauman dan keagamaan yang dimainkan secara bebas tanpa kawalan mempunyai impak yang serius terhadap masyarakat majmuk di Malaysia. Adalah penting isu-isu yang melibatkan perkauman dan keagamaan mesti dikekang tanpa jejaskan hak kebebasan bersuara rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Khalid berkata demikian dalam wawancara khas bersama media sempena sambutan Hari Polis ke-208 yang bertemakan 'Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada'.
"Saya juga berpendapat mencegah adalah lebih baik dan ia dapat dilihat melalui tindakan kami yang begitu drastik dalam tempoh satu dua minggu kebelakangan ini yang jelas menggambarkan betapa seriusnya kami dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba hasut menggunakan media sosial," kata Khalid.
Beliau berkata tindakan drastik dari segi arahan yang diberikannya melalui laman sosial adalah bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan pantas dan cepat dalam apa jua perbuatan yang melanggar peraturan khususnya dalam kegiatan menghasut dan menyebarkan perkara-perkara yang tidak benar.
Berdasarkan pandangannya, Khalid berkata ini adalah satu cara yang segera dan pantas untuk pastikan perkara seperti ini (hasutan di laman sosial) tidak merebak dan memberitahu masyarakat bahawa tindakan ini tidak betul dan perlu dihentikan serta-merta.
"Polis sentiasa menjaga dan menghormati hak kebebasan bersuara tetapi hak kebebasan bersuara ini ada hadnya, khususnya dalam negara kita yang berbilang kaum, berbilang bangsa dan berbilang agama, jika ada orang yang melanggar atau melampaui hak ini, saya macam 'referee' dan tindakan akan diambil," katanya.
Katanya kadangkala masyarakat mahu PDRM bertindak pantas dan apabila beliau berbuat seperti itu, mereka mengatakan tidak betul pula dan melanggar hak kebebasan bersuara.
"Saya telah beri amaran banyak kali khususnya kepada pemimpin politik serta badan bukan kerajaan supaya berhati-hati bila suarakan pendapat dan pandangan khususnya di media sosial kerana ia boleh menjurus kepada keadaan yang mengancam keselamatan awam," katanya.
Beliau berkata berdasarkan pemerhatian pihaknya, terdapat pengurangan dalam aktiviti menghasut melalui laman sosial ketika ini, dan berharap ia berterusan serta tiada lagi pihak cuba menyalahgunakan platform itu.
Khalid menegaskan, pihaknya tidak akan memberikan sebarang amaran khususnya berkaitan kesalahan yang berbaur hasutan sebaliknya tindakan serta-merta akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar mana-mana peraturan.
Sementara itu, Khalid berkata cabaran yang dilihat dalam PDRM pada ketika ini terbahagi kepada dua skop iaitu dalaman dan luaran.
"Dalam aspek dalaman, modal insan menjadi antara elemen penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara dengan penambahan nisbah
penduduk di Malaysia, yang memerlukan penglibatan anggota polis yang mencukupi agar keseimbangan dapat dipertingkat selaras dengan standard piawaian Interpol
iaitu polis dan rakyat nisbah 1:250.
"Berdasarkan statistik, kekuatan PDRM pada ketika ini berjumlah 126,800 anggota termasuk pegawai kanan, pegawai pangkat rendah, dan kakitangan awam dengan 30 juta penduduk. Kalau ikut nisbah memang kurang," katanya.
Khalid berkata berdasarkan manifesto kerajaan, 4,000 perjawatan diperuntukkan untuk PDRM setiap tahun bagi meningkatkan jumlah tenaga kerja tetapi hakikatnya hanya 3,000 perjawatan yang diisi.
Katanya dalam perkara ini PDRM perlu merekrut lebih kurang 6,000 hingga 7,000 setiap tahun untuk menggantikan semula sekali gus memenuhi perjawatan yang diluluskan setiap tahun.
"Buat masa sekarang kami ada 11 peratus kakitangan adalah wanita dan untuk jangka panjang kami berharap dapat mencapai 30 peratus anggota wanita dalam PDRM," katanya.
Khalid berkata selain itu, permasalahan dari segi logistik juga menjadi kekangan utama kepada PDRM dalam melaksanakan tanggungjawab berikutan tindakan kerajaan merasionalisasikan perbelanjaan negara.
"Keadaan ini menyebabkan kami menangguhkan beberapa program pembangunan kami yang telah dirancang termasuk perancangan menggantikan peralatan logistik termasuk rumah kediaman pegawai dan anggota," katanya.
Mengambil contoh kes balu anggota polis yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini apabila dikatakan PDRM bertindak kejam menghalau balu polis berkenaan yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, Khalid menafikan perkara itu sebaliknya menjelaskan tindakan pengosongan dibuat selepas dua notis pengosongan diberikan namun diabaikan balu berkenaan.
"Kami telah sedaya upaya membantu dia… tetapi kami juga perlu memikirkan kebajikan anggota lain yang memerlukan rumah kerana ada antara mereka yang terpaksa sewa di setinggan... kami kena bantu anggota yang sewa di luar," katanya.
Mengenai cabaran luaran, Khalid yang menyifatkan jenayah sebagai cabaran tradisi berkata penglibatan PDRM dalam bidang keberhasilan utama negara (NKRA) di bawah Program Tranformasi Kerajaan, PDRM bertanggungjawab mengurangkan jenayah indeks lima peratus setiap tahun sehingga 2020 sejak ia diperkenalkan pada 2009.
Dalam perkara itu, pelan tindakan susulan bagi tadbir urus pencegahan jenayah termasuk dalam isu meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat akan menjadi pemangkin yang akan menjadikan sebuah negara aman, selamat dan sejahtera.
Antara isu-isu utama berkaitan jenayah -- jenayah sindiket, jenayah rentas sempadan, jenayah warga asing dan jenayah sosial.
Selain itu, Khalid berkata ancaman siber juga menunjukkan peningkatan mendadak setiap bulan dan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, jumlah keseluruhan kes jenayah siber adalah 8,140 kes iaitu melibatkan penipuan siber 3,326; spam 1,710; ceroboh laman web 1,244 dan fitnah 645.
"Selain berhadapan dengan jenayah siber yang semakin meningkat, PDRM turut berhadapan dengan kekangan dari segi mengenal pasti pesalah, kelemahan undang-undang sedia ada dan pendakwaan serta peningkatan kes-kes cetak rompak dan pencabulan harta intelek.
"Perlu diketahui, ancaman jenayah siber boleh menggugat keyakinan masyarakat dan mengganggu kestabilan ekonomi dan politik negara jika tidak ditangani dengan serius dan menyeluruh," katanya.
Katanya keselamatan sempadan khususnya Malaysia-Thailand, sempadan Sarawak-Kalimantan dan Sabah-Filipina masih dan terus menjadi agenda penting yang harus dikawal dalam memastikan keselamatan sempadan negara dan kedaulatan negara kekal terjaga.
Dalam menghadapi cabaran masa kini dengan aktiviti jenayah yang semakin kompleks, Khalid berkata jabatan PDRM sentiasa merancang mengukuhkan keupayaan dan kecekapan bertindak dalam menangani cabaran jenayah yang canggih selari dengan teras PDRM termasuk dengan memperoleh dan menambah sumber-sumber strategik.
Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' selari dengan kehendak kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam, dan tema itu juga diambil bertujuan untuk merakyatkan perkhidmatan polis dalam memastikan pemuafakatan PDRM dan masyarakat terus ampuh.
Khalid berkata tugas menjaga keamanan dan keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu PDRM, justeru kerjasama dan hubungan rapat antara polis dengan masyarakat harus dipupuk sekali gus dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan PDRM kepada masyarakat.
- Bernama

