MP tak percaya POTA takkan disalah guna
Para MP Pakatan Rakyat tidak percaya dengan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Pencegahan Keganasan (POTA) tidak akan disalah guna untuk menekan ahli politik.
Setiausaha agung PKR, Rafizi Ramli berkata pendana menteri kini “bankrap kredibiliti” kerana sebelum ini mungkir janji untuk memansuhkan Akta Hasutan.
“Saya tak fikir kata-katanya ada apa-apa nilai. Beliau tiada kredibiliti. Malah, beliau lebih teruk daripada (Tun) Dr Mahathir Mohamad.
“Setidak-tidaknya, Mahathir mampu menguruskan negara. Najib tidak cekap dalam menguruskan negara dan pada masa sama bertindak seperti Mahathir yang menekan suara penentangan,” kata Rafizi.
Sementara itu, MP Segambut, Lim Lip Eng pula berkata, kenyataan Najib itu juga tidak akan dipercayai oleh masyarakat dunia.
“Bukan sahaja di sini, seluruh masyarakat dunia tidak akan percaya padanya,” kata MP DAP itu.
Akta yang memperuntukkan kuasa tahanan tanpa bicara itu, yang menggantikan ISA, dibimbangi akan disalah guna bagi tujuan politik.

