Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mengemaskini jumlah sebenar keluasan tanah rizab Melayu dan pemilikan bumiputera di Kuala Lumpur.

Ketika membuat gesaan itu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mendakwa ini kerana semakin banyak tanah rizab Melayu yang telah bertukar statusnya kepada tanah komersial.

Perkara itu dibangkitkan oleh Timbalan Ketua DPPWP, Nurul Islam ketika mengunjungi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib hari ini.

Rombongan DPPWP itu diketuai oleh Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin serta lima anggota exco dewan tersebut. Kunjungan itu berlangsung hampir satu jam mulai jam 12.15 tengahari ini.

Bukan itu sahaja, tegas Nurul Islam, dianggarkan 21.9 peratus tanah di Kuala Lumpur dimilki kerajaan dan satu peratus pemilikan persendirian manakala selebihnya dimiliki pihak lain.

"Justeru, DPPWP meminta DBKL untuk mengemaskini jumlah sebenar keluasan tanah rizab Melayu dan pemilikan bumiputera di Kuala Lumpur ini," kata DPPWP dalam satu kenyataan.

Di dalam isu pemilikan tanah ini juga, DPPWP turut membangkitkan peranan DBKL dalam mengekang lambakan pasaran hartanah kediaman mewah.

Ini, katanya, bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana dan rendah mampu memiliki kediaman pertama mereka di Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan tersebut, DPPWP mengemukakan tiga isu penting yang menurutnya menjadi dilema warga kota, iaitu isu pengurusan keselamatan kecerunan tanah, isu pemilikan tanah dan perumahan dan isu kesesakan trafik.

Katanya, isu pengurusan keselamatan kecerunan tanah melibatkan hampir kesemua kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Isu lain yang turut dibangkitkan ialah:

  • Mengenai peta bencana yang pernah diwar-warkan oleh DBKL. 

 

  • Pembinaan di sekitar Kuala Lumpur perlu mematuhi piawaian yang ditetapkan terutamanya yang tertakluk kepada Garis Panduan Pembangunan Tanah Tinggi dan Cerun Wilayah Persekutuan 2010, serta Sistem Aplikasi Hazard and Risk Map.
  •  

  • Isu kesesakan trafik dan DBKL diminta memperkasakan pengangkutan awam berasaskan rel memandangkan lebih kurang tiga juta kenderaan persendirian keluar masuk Kuala Lumpur setiap hari.
  •  

  • Meminta DBKL menghadkan pergantungan pertumbuhan pembinaan hartanah baru terutamanya jenis pejabat, komersial dan hotel dari semasa ke semasa. Ianya secara tidak langsung mengurangkan jumlah kemasukan kenderaan ke pusat bandar.
  •