PAS berharap agar DAP dapat bertindak dengan lebih matang dan tidak bersikap keanak-anakan dalam menangani usaha parti Islam itu untuk melaksanakan hudud.

Ketua penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, DAP juga harus menyemak semula keputusan memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, keputusan berkenaan sangat aneh kerana DAP masih mahu bekerjasama dengan PAS, sedangkan Hadi merupakan wakil PAS dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

“DAP wajar menimbang semula keputusan ini kerana jika tidak, ia akan menjadi bahan lawak jenaka di kalangan rakyat yang melihat gelagat ahli politik.

“DAP sebagai parti yang dipimpin oleh pemimpin senior yang agak lama dan berusia sepatutnya bertindak dengan lebih matang, seperti negarawan bukannya berkelakuan seperti kanak-kanak.

“Negarawan sifatnya lebih terbuka dan bertoleransi dalam hal yang tidak disepakati bukannya melihat kepentingan sendiri sahaja,” kata Mahfuz.

Beliau juga kecewa kerana DAP menyifatkan Hadi sebagai “khianat, tidak jujur, tidak bermaruah dan bergabung dengan Umno”.

“Serangan (ini) pasti mencalar hati dan perasaan sekalian ahli PAS,” katanya lagi yang menangkis dakwaan bahawa PAS bekerjasama dengan Umno dalam isu hudud.

Katanya, para ADUN Kelantan bebas untuk menyokong usul yang dibawa kerajaan, sepertimana para MP bebas menyokong usul di Parlimen.

Beliau memberi contoh, penasihat DAP sendiri, Lim Kit Siang mencadangkan satu usul untuk disokong oleh para MP BN dan Pakatan.

“Bukankah ini juga boleh dikatakan perbuatan khianat pada Pakatan dan melanggar dasar bersama dan konsensus Pakatan?,” soalnya.