Haron bayang hubungan PAS-DAP 'mati, habis'
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menyifatkan keputusan 'pelik' DAP untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengisyaratkan ke arah pepecahan Pakatan Rakyat.
Haron turut membayangkan hubungan PAS dengan rakan sekutunya DAP "terputus" kerana parti itu tertakluk arahan presiden dania sebahagian daripada organisasi parti, lapor Utusan Malaysia hari ini.
"Adakah pada saat-saat seperti ketika kita semua mahu perbaiki semula keretakan, tiba-tba DAP buat kenyataan yang meluaskan retak itu, memutuskan hubungan dengan presiden mengisyaratkan kepada Pakatan akan berpecah.
"Apa yang nyata bukan kita memulakan masalah keretakan ini. Tidak fahamkah DAP bahawa presiden adalah sebahagian dalam parti dan parti merupakan sebahagian presiden. Jadi mana mungkin dipisahkan? Kalau tidak mahu berhubung dengan presiden, nak berhubung dengan siapa?
"Parti di bawah arahan presiden, amat pelik tindakan DAP itu. Kita nampak isyaratnya adalah ke arah itu (berpecah). Apa maknanya kalau putus kepala, ekor tidak putus? Putus kepala maknanya mati, ertinya habis," katanya seperti dilapor akhbar itu.
Haron mengulas keputusan DAP yang mengumumkan memutuskan hubungan dengan Hadi kerana tidak lagi dapat dapat bekerjasama dengan presiden PAS itu yang didakwanya bertindak "tidak jujur dan tidak bermaruah".
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti sudah hilang kepercayaan dan keyakinan pada Hadi sebagai pemimpin Pakatan Rakyat selepas mengambil kira pendirian MP Marang dalam meneruskan pelaksanaan hudud.

