Menteri digesa segera arah ketua audit siasat KLIA2
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai digesa supaya jangan melewat-lewatkan pelaksanaan syor Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) supaya Ketua Audit Negara menyiasat projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Dalam satu kenyataan hari ini, MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua (kiri) berkata, sudah empat bulan Jawatankuasa Kira-kira Awam ( PAC) mengemukakan laporannya, tetapi tiada tindakan diambil oleh menteri itu.
Katanya, walaupun ia mengambil masa enam minggu bagi Liow menyokong syor utama PAC itu selepas banyak kali didakwanya mengelak soalan itu, "tetapi lebih baik lewat daripada tidak ada langsung".
Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini - lebih empat bulan kemudiannya - tidak ada sebarang arahan yang diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk menyiasat KLIA2.
Menurut ahli Parlimen itu, laporan PAC menunjukkan banyak keputusan yang meragukan dan kontroversi yang dibuat, yang menyebabkan bukan sahaja KLIA2 dibina lebih dua kali ganda daripada bajet asal sebanyak RM1.7 bilion, tetapi juga telah beberapa kali mengalami kelewatan.
Pua turut membidas jawapan Kementerian Kewangan terhadap pertanyaannya di Parlimen pada hari Rabu bahawa kerajaan masih mengkaji laporan PAC itu.

