PM kata makanan penjaja lebih sedap
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau kadang kala lebih menyukai makan dari gerai penjaja berbanding dari sajian di hotel lima bintang.
"Antara peranan yang dimainkan oleh penjaja dan peniaga kecil, mereka menyediakan makanan lazat pada harga berpatutan.
"Kadang-kadang, bila menikmati makanan tertentu dan kita bandingkannya dengan hotel lima bintang, makanan penjaja lebih sedap.
"Walaupun kita terpaksa membayar harga lebih mahal, kadang-kadang 10 kali lebih tinggi, makanan di gerai penjaja lebih sedap,” katanya yang disambut dengan tepukan oleh para hadirin.
Najib berkata demikian ketika melancarkan skim pinjaman mikro untuk penjaja dan peniaga kecil Cina di Jalan Alor, Bukit Bintang.
Kawasan di Kuala Lumpur itu popular sebagai destinasi makanan dari gerai penjaja.
Ia terletak di kawasan parlimen dikuasai DAP, yang dianggap sebagai kubu kuat parti pembangkang itu.
Kawasan tumpuan pelancong itu dinaik taraf untuk projek ‘Jalan Alor Night Food Paradise’ oleh Datuk Bandar KL, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib pada September 2013.
Selepas ucapannya, Najib mencuba beberapa hidangan di sebuah gerai sebelum beredar dengan kenderaannya, tanpa bercakap kepada pemberita.
Tidak dapat dipastikan sama ada beliau tidak mengadakan sidang akhbar kerana ingin mengelak daripada soalan mengenai serangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke atasnya.
Beliau sering bergegas dari satu acara ke acara lain tanpa mengadakan sidang akhbar, dan ini bukan satu perkara di luar kebiasaan.

