Menteri Belia Khairy Jamaluddin menafikan bahawa kelewatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pendirian BN dan kabinet mengenai hudud adalah satu muslihat yang bertujuan untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

Selain itu, bercakap kepada pemberita hari ini, Khairy bersetuju dengan rakan-rakan Umnonya bahawa mesyuarat kabinet tidak membincangkan enakmen hudud yang diluluskan oleh Kelantan bulan lepas.

"Di mesyuarat kabinet yang lalu, saya sebagai anggota kabinet, kita tidak membincangkan isu hudud," katanya.

Malah, katanya, dalam mesyuarat kabinet sebelumnya, selepas pindaan itu diluluskan, para menteri hanya dimaklumkan mengenai rang undang-undang itu.

"Kami dimaklumkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan itu, dan (Presiden PAS Datuk Seri) Hadi Awang mungkin membentangkan Rang Undang-undang Persendirian, itu saja," jelasnya.

Dakwaan Khairy itu bercanggah dengan dakwaan Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kabinet membincangkan isu itu.

Bagaimanapun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan Datuk Nazri Aziz mendakwa sebaliknya.

Persoalan tentang pendirian kabinet mengenai hudud menjadi isu panas selepas DUN Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan II (1993) untuk membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di negeri itu.

[Baca berita penuh/asal]