Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Paduka Mohd Puat Mohd Ali menafikan khabar angin yang disebarkan pihak tertentu kononnya Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sedang gering.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, beliau melahirkan rasa dukacita kerana ada pihak tertentu yang berniat jahat dan bersifat jahil menyebarkan fitnah bahawa Tuanku telah gering dan rebah di istana.

"Saya merasa dukacita kerana ada pihak tertentu yang berniat jahat dan bersifat jahil telah menyebarkan fitnah bahawa Yang di-Pertuan Agong telah gering kerana rebah di istana.

"Berita ini timbul apabila ada permintaan supaya diadakan majlis bacaan Yasin bagi mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Duli Tuanku di Kedah. Majlis bacaan Yasin ini lazim diadakan di Kedah kerana rakyat Kedah menyayangi Duli Tuanku. Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong sihat dan tidak gering,"  katanya di Alor Setar.

Mohd Puat berharap semoga Allah SWT menganugerahkan Seri Paduka berdua umur yang panjang dan sihat sejahtera.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Sultan Kedah, adalah stabil dan tidak membimbangkan.

"Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak sihat... (ini) biasa sahaja. Tidak seteruk yang digembar-gemburkan melalui SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) yang saya tidak pasti dari mana datangnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Anak Yatim Baitul Zainab di Kuala Nerang hari ini.

Mukriz berkata doa ke atas kesihatan dan kesejahteraan Sultan Kedah adalah perkara biasa yang dilakukan dan sentiasa disyorkan di kalangan rakyat Kedah.

"Tapi tak perlu sampai tahap panik, kerana kita mempunyai doktor-doktor yang sentiasa menjaga kesihatan baginda.

"Dalam pengetahuan saya, keadaan baginda stabil dan tak membimbangkan," kata Mukhriz ketika mengulas khabar angin tersebar semalam yang mendakwa Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan gering.

Terdahulu, dalam kenyataan yang dikeluarkan di Alor Setar,

- Bernama