Seorang pelancong wanita dari United Kingdom yang sesat di Hutan Sepilok dekat Sandakan, ditemui dalam keadaan selamat, malam tadi.

    

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata wanita berusia 50 tahun dikenali sebagai Sally ditemui pada 11.40 malam oleh anggota Polis dan Jabatan Pertahanan Awam.

    

Katanya sebelum itu, wanita berkenaan mengikuti aktiviti melihat burung di kawasan Hutan Sepilok di Rainforest Discovery Centre (RDC).

    

"Wanita itu gagal menemui laluan kembali ke RDC dan menghubungi rakannya," katanya ketika dihubungi Bernama, di Sandakan.

    

Haikal berkata laporan kehilangan mangsa di hutan itu diterima pada 8.20 malam tadi.

    

-Bernama