Pentas muzik perkenal bakat anak peneroka
Pentas Muzik Komuniti Felda mampu menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan bakat seni anak peneroka dalam industri muzik tempatan, kata Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Beliau berkata program seumpama itu memberi peluang kepada warga Felda menunjukkan bakat seni masing-masing yang terpendam sekian lama untuk diketengahkan ke pentas tempatan dan antarabangsa.
"Platform sebegini perlu diambil perhatian dan ruang sebaiknya oleh warga Felda sekali gus menggunakan bakat yang ada sebagai sumbangan kepada industri kreatif tanah air," katanya ketika merasmikan Pertandingan Pentas Muzik Komuniti Felda Peringkat Kebangsaan, di Kuala Lumpur malam tadi.
Dalam pertandingan itu, Ahmad Rafe Ali dari wilayah Alor Setar, Kedah dan kumpulan New Vise dari wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan masing-masing muncul juara kategori suara emas dan kugiran serta, masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM5,000.
Tempat kedua dan ketiga kategori suara emas dimenangi Ithnin Abdul Hamid (wilayah Segamat, Johor) dan Nafsiah Nayan (wilayah Mempaga, Pahang), manakala tempat kedua dan ketiga kategori kugiran dimenangi kumpulan 4 Penjuru (wilayah Mempaga) dan Rocha (wilayah Alor Setar).
Bagi suara emas, tempat kedua membawa pulang wang tunai RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000, manakala bagi kumpulan kugiran, tempat kedua membawa pulang RM3,000 sementara tempat ketiga RM2,000.
Sebanyak 11 peserta suara emas dan 11 kumpulan kugiran yang masing-masing mewakili setiap wilayah Felda dari seluruh negara menyertai pertandingan tersebut.
- Bernama

