Naib Presiden PKR Rafizi Ramli salah seorang yang berdepan tindakan undang-undang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dan sekarang, anggota Parlimen Pandan itu mencabar Najib untuk menyaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang dilihat mengaitkannya dengan pembunuhan Antantuya Shaariibuu.

Rafizi ( bawah ) berkata langkah itu perlu diambil kerana dakwaan Mahathir itu sangat serius dan merosakkan kewibawaan Najib, terutamanya di kalangan anggota Umno.

“Tetapi yang lebih serius lagi berkaitan dakwaan bersubahat menggelapkan (dalam kes 1Malaysia Development Bhd) dan konspirasi jenayah (dalam kes Altantuya),” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya dakwaan serius sebegitu perlukan siasatan tetapi nampaknya seperti tiada apa-apa berlaku, berdasarkan reaksi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Rafizi berkata Najib bertanggungjawab membersihkan namanya dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahathir.

“Tindakan terbaik baginya dengan menyaman Mahathir atas dakwaan memfitnah kerana hasratnya (Mahathir) untuk merosakkan kewibawaan Najib.

“Najib telah pun menyaman orang lain atas perkara lebih kecil,” katanya.

“Jika tiada tindakan undang-undang dimulakan, ia hanya menguatkan lagi dakwaan Mahathir,” katanya.

Kritikan paling keras

Mahathir pada 2 April menulis di blog mengkritik pentadbiran Najib daripada pelbagai aspek.

Ia dilihat antara kecaman paling keras diajukan oleh bekas perdana menteri selama 22 tahun ini.

Perkara itu termasuk membangkitkan persoalan berhubung pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya , susulan reaksi Najib bahawa perkara itu “mengarut” sebelum ini.

Beliau juga mengulangi amaran bahawa BN akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang jika Najib terus menerajui parti itu, selain terus mengasak itu 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

Mahathir juga berkata semua kaum tidak lagi berdiri di belakang pemimpin nombor satu negara.

Syed Ali: Jangan jadi batu api

Sementara itu, Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan Rafizi supaya tidak tidak perlu menjadi 'batu api' melaga-lagakan Najib dengan Mahathir.

"Tidak perlu Rafizi nak jdi batu api, jangan mencampuri urusan Umno kerana teguran Dr Mahathir sebelum ini bukan bermakna satu desakan supaya perdana menteri berundur," tegasnya dalam blog Umno Cheras.

Syed Ali ( kanan ) berkata pandangan Mahathir terhadap Umno dan pentadbiran Najib sengaja dieksploitasi pihak tertentu diperbesar-besarkan.

"Sebenarnya tidak ada isu besar pun, tetapi sengaja disensasikan seolah-olah ia seperti bom jangka, walhal Najib dan Dr Mahathir tidak ada sebarang pertelingkahan," beliau dipetik sebagai berkata.

[Baca berita asal]