MP tak rela anak diculik pejuang IS
Beberapa anggota Parlimen BN menyelar pihak pembangkang yang mendakwa kewujudan Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 mempunyai 'mala fide' atau niat jahat terhadap pihak tertentu selain menyekat hak asasi individu.
Sebaliknya Rang Undang-Undang (RUU) itu disifatkan satu keperluan selaras dengan perkembangan ancaman keganasan yang berlaku di peringkat antarabangsa seperti ancaman militan IS.
Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berkata kertas putih yang dibentang kerajaan membuktikan bahawa ancaman keganasan melibatkan IS adalah jelas dan telah terbukti ada rakyat negara ini yang terlibat dengan kumpulan keganasan tersebut.
"Adakah kita sebagai wakil rakyat yang memimpin rakyat kita di kawasan Parlimen nak membenarkan risiko yang kita telah lihat ini seperti anak-anak perempuan kita dipengaruhi untuk bersama dengan 'jihad palsu' militan ini.
"Saya belum kahwin, tetapi saya ada anak angkat berusia 12 tahun, perempuan, saya tak sanggup kalau anak saya tiba-tiba kena 'culik' dengan 'pak Arab' ini untuk 'jihad nikah' konon untuk lahirkan pejuang mereka," katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan RUU POTA 2015 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina dalam perbahasannya turut mempertikai tanggapan pembangkang yang kononnnya hak asasi manusia akan diketepi dengan pelaksanaan POTA susulan cadangan akta itu yang memberikan kuasa penuh pada pihak tertentu untuk menahan individu tanpa bukti kukuh.
"Saya yakin kita wujudkan undang-undang ini kerana kita tahu niatnya. Ia lebih kepada mencegah. Kita tidak tahu hari ini mungkin ada rakyat Malaysia yang membuat perancangan untuk melibatkan diri dalam IS, jadi kalau kita tiada niat nak menjadi pengganas, buat apa kita nak takut? Sepatutnya kita setuju sahaja tanpa dibahaskan," tegasnya.
Katanya pembangkang tidak patut memberikan hujahan yang beremosi termasuk kekhuatiran akta tersebut akan disalah guna dengan memberikan pelbagai alasan termasuk menyamakan POTA dengan ISA.
"Sebenarnya 'tidak ada kebebasan mutlak', mana ada bebas sebebas-bebasnya, apa yang dibentangkan Timbalan Menteri sudah cukup terang kepada kita bahawa jenis-jenis jenayah 'kemungkinan keganasan', kalau tiada kaitan dengan keganasan tidak perlu bimbang akan ditahan," hujahnya yang beberapa kali terganggu dengan desakan wakil pembangkang untuk mencelah perbahasan tersebut.
Antaranya, N Surendran (PKR-Padang Serai) yang mempersoalkan Fasal 13, rang undang-undang itu berkenaan peruntukan tempoh tahanan tanpa bicara yang disifatkan tidak perlu kerana tahap ancaman keganasan di negara ini rendah jika dibandingkan dengan ancaman di negara Eropah seperti di Australia atau United Kingdom (UK).
"UK mempunyai ancaman IS yang jauh lebih tinggi dari Malaysia. Tapi tempoh penahanan yang paling tinggi di bawah 'Terrorism Act' ialah 14 hari, Australia pun 14 hari...mereka tiada tahanan tanpa bicara. Mengapa kita perlukan? Kita bimbang jika ia mempunyai kecenderungan untuk disalah gunakan," katanya.
Sementara itu, Bung Mohktar Radin (BN-Kinabatangan) pula berkata POTA merupakan langkah bijak kerajaan dalam usaha menjaga keselamatan rakyat negara ini.
"Kita tahu bagaimana IS ini merebak macam cendawan melalui organisasi yang ditubuhkan, mereka nak tubuhkan negara Islam tanpa sempadan, jika tujuan tidak betul maka patut kita cegah.
"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna, dah terhantuk baru terngadah, dah terkena, baru nak berbicara, jika dah tahu kesannya tapi tidak mahu mencegah maka itu bukan pemimpin yang bijaksana," katanya yang turut menyokong RUU berkenaan.
Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika mencelah pula menafikan POTA memberi kuasa berlebihan kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan individu, malah kuasa penahanan terletak di tangan lima orang di dalam lembaga yang dilantik serta mempunyai pengalaman luas dalam undang-undang.
Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berpendapat POTA diperlukan kerana proses mengurus jenayah keganasan tidak sama dengan jenayah biasa dan pihak berkuasa menghadapi masalah kesukaran untuk mengurus jenayah keganasan ini dalam masa yang sama menjaga hak asasi seseorang individu.
- Bernama

