Seorang warga emas maut dipercayai dipukul ketika cuba menghalang seorang lelaki yang cuba menyamunnya di halaman rumahnya di Jalan 17/48, Petaling Jaya, kira-kira pukul 6.07 petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata Ang Hun Mung, 66, seorang pesara, dipercayai telah dipukul sehingga maut selepas cuba menghalang suspek daripada melarikan beg miliknya. 

Menurutnya, mangsa dipercayai sedang menyiasat halaman rumah bersebelahan yang juga miliknya yang disyaki dipecah masuk oleh lelaki berkenaan berusia 20-an.

Suspek cuba merampas beg mangsa ketika menyedari kedatangannya di rumah tersebut hingga berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, suspek dipercayai telah memukul mangsa, bagaimanapun telah gagal merampas beg berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Mangsa ditinggalkan bersendirian sehingga tidak sedarkan diri.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat, katanya.

Sementara itu,di Johor Bahru, seorang wanita warga emas cedera di mata dan kepala dikatakan akibat dipukul sekumpulan penjenayah yang menyamun rumahnya di Flat Kangkar Pulai, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad berkata kejadian disedari pada pukul 6.40 petang ketika seorang jiran ternampak mangsa duduk dalam keadaan tidak terurus di bahagian ruang tamu rumah.

Noor Hashim berkata sangsi melihat keadaan itu, jirannya kemudian mendapatkan bantuan daripada jiran lain untuk masuk ke dalam rumah mangsa sebelum mendapati rumah tersebut berselerak, manakala mangsa pula lebam di mata dan cedera di kepala.

"Mangsa berusia 76 tahun masih trauma ketika pasukan kami datang untuk menyiasat dan mangsa tidak dapat menceritakan apa yang berlaku.

"Difahamkan, mangsa tinggal berseorangan di rumah tersebut," kata Noor Hashim ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata mangsa sudah dibawa oleh jiran dan anak mangsa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk menerima rawatan.

- Bernama