PAS minta speaker percepat RUU hudud
PAS telah meminta speaker Dewan Rakyat untuk mempercepatkan rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan terhadap pelaksanaan hudud dibentangkan.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu berharap ia dapat dilakukan dalam sidang Parlimen kali ini.
“Kami minta rang undang-undang ini dipercepat dalam senarai (aturan).
"Kami sudah pun beritahu speaker dan kini menunggu keputusan untuk meneruskannya,” tambah Hadi.
Rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah semalam tersenarai dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat semalam.
Ia bagaimanapun belum mendapat laluan daripada speaker. Malah, kedudukannya di tempat ke-24 juga mungkin menyebabkannya tidak sempat dibahaskan dalam sidang kali ini.
Hadi mencadangkan pindaan terhadap akta itu dengan menambah bidang kuasa dan hukuman terhadap mahkamah syariah.
Mahkamah itu kini hanya boleh menjatuhkan hukuman maksimum tiga tahun penjara RM5,000 denda dan enam sebatan.
'Hak Kelantan'
Sementara itu, Hadi juga berkata menegaskan sekali lagi bahawa rakannya dalam Pakatan Rakyat, DAP dan Pakatan, tidak perlu mengkritik tindakannya.
Katanya, hudud “hak Kelantan” dan keputusan berkaitan undang-undang itu telah lama dibuat PAS.
Malah, katanya, sepanjang perjalanan PAS bersama Pakatan, terdapat juga beberapa keputusan dibuat sendiri oleh DAP dan PKR tanpa pengetahuan PAS.
Hadi juga berkata jika rakan kedua-dua parti rakannya menolak rang undang-undang persendirian yang mahu dibentangkannya, ia perkara normal dalam sebuah sistem demokrasi.

