BMW: Kereta tajaan untuk sidang Asean
BMW Group Malaysia menjelaskan bahawa enam buah kereta keluarannya yang dikesan dengan lambang jata Malaysia merupakan kereta tajaan untuk digunakan dalam Sidang Kemuncak Asean ke-26.
Akhbar kerajaan Selangor melaporkan, pengeluar kereta mewah itu menjelaskan bahawa enam buah kenderaan tersebut tidak dibeli oleh kerajaan, seperti yang disyaki PKR.
Perkara itu dijelaskan oleh pengarah urusan syarikat tersebut, Alan Harris.
“Kereta berkenaan tidak dibeli Kerajaan Persekutuan sebaliknya BMW menaja kereta berkenaan,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Menurutnya kereta tersebut akan digunakan sebagai kenderaan rasmi semasa persidangan berkenaan, yang akan berlangsung dari 24 hingga 28 April.
Naib presiden PKR, Rafizi Ramli pagi ini mendakwa kenderaan tersebut dibeli oleh kerajaan Malaysia.
Beliau seterusnya menuntut agar kerajaan menjelaskan mengenai “pembelian” itu.

