Malaysiakini BERITA

Ibu Sirul temui Mahathir

Hafiz Yatim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

MP Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar sudahpun membawa ibu kepada Sirul Azhar Umar untuk menemui bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan itu berlangsung di bangunan Yayasan Perdana di Putrajaya namun belum dapat dipastikan masa pertemuan itu berlaku.

Gambar pertemuan itu yang berlegar di Facebook menunjukkan Mahfuz tiba bersama Piah Samat dan anggota keluarga untuk bertemu Mahathir.

Gambar menunjukkan Piah sedang berbual dengan Mahathir juga tersebar di Facebook.

Gambar itu muncul susulan kenyataan Mahfuz pada hari Jumaat lalu yang berjanji untuk mengatur pertemuan itu.

Mahfuz menyatakan demikian susulan tulisan Mahathir di blog chedet.cc yang terus menekan Najib kerana masih berdiam diri atas isu yang dibangkitkan.

Mahathir sebelum ini menuntut jawapan berhubung pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dan bertanya siapakah yang memberi arahan untuk bertindak demikian.

Turut dibangkitkannya adalah mengenai pentadbiran dana firma yang dicetuskan perdana menteri, 1Malaysia Development Bhd.

Mahathir berkata, BN dan Umno akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang kerana Najib terus berdiam diri dalam isu tersebut.

Mahfuz ketika ditemui Malaysiakini hari ini berkata, beliau akan mengadakan sidang media berhubung pertemuan itu, esok.