'Garis panduan caj perkhidmatan sudah ada'
Walaupun kerajaan tidak mengeluarkan pengesahan bagi membolehkan pengusaha mengutip caj perkhidmatan, garis panduan berkaitan sudah disediakan.
Malah, dalam kes itu, perjanjian kolektif antara majikan dengan pekerja mesti dipamerkan (di premis), kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad.
“Kita tidak keluarkan sijil (kebenaran) tapi, kita keluarkan guideline dan perjanjian kolektif (antara majikan dengan pekerja) mesti dipamerkan (di premis).
“Bagaimanapun siapa yang tidak berpuas hati boleh mengadu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya dalam sidang media berkenaan GST di Putrajaya.
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) semalam mendesak pengusaha diwajibkan mendapat pengesahan kerajaan terlebih dahulu sebelum dibenarkan mengutip caj perkhidmatan.
Timbalan presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ia akan dapat mengelakkan pengusaha hotel dan restoran itu memalsukan kelayakan mereka untuk mengutip caj tersebut.
Ini memandangkan, pengusaha perniagaan itu disyaratkan untuk memeterai perjanjian bersama dengan para pekerja terlebih dahulu, sebelum mengenakan bayaran tersebut.
Caj perkhidmatan itu sepatutnya disalurkan kepada kakitangan bagi menggantikan sistem bayaran tip seperti diamalkan di negara lain.

