Penduduk kesal kawasan perkuburan diganggu
Penghuni rumah panjang di Skim Penempatan Semula Nanga Tada di Kanowit, kira-kira 78 kilometer dari Sibu mendapati kawasan tanah perkuburan mereka diganggu pihak tidak bertanggungjawab minggu lepas.
Kira-kira 30 kubur dikatakan telah diceroboh.
Seorang penghuni Patrick Goh Pasu, 58, berkata mereka mendapat tahu mengenai perkara itu apabila mahu mengebumikan mayat minggu lalu.
"Mereka menceroboh kubur ibu saya dan mengambil kesemua tulangnya kecuali tengkoraknya," katanya kepada Bernama semalam.
Beliau merasa hairan kerana penceroboh hanya mengambil tulang dan tidak 'baya' (benda berharga yang ditanam bersama mayat kaum Iban) seperti beberapa kes sebelum ini.
Namun Goh percaya tulang-tulang itu mahu dijadikan bahan untuk ubat tradisional.
"Kami amat sedih dengan kejadian ini," katanya.
Beliau mahu undang-undang yang memperuntuk hukuman berat dilaksana bagi mencegah pihak lain daripada mengganggu tanah perkuburan.
Penduduk telah membuat laporan polis dan membaiki semula kubur yang rosak setelah polis selesai membuat siasatan.
- Bernama

