Walaupun hujan lebat, namun ia tidak menjadi penghalang kepada kira-kira 3,000 peserta Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) untuk mendengar amanat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadi tiba di Padang Merbok pada jam 8.05 malam dan berucap selama kira-kira 30 minit.

Hujan lebat yang turun selepas kira-kira 20 minit Hadi berucap sedikit pun tidak membuatkan hadirin berganjak dari terus mendengar ucapannya itu.

Mereka antaranya menggunakan payung, kain, dan baju hujan untuk melindungi diri mereka daripada hujan.

Sebelum itu, para hadirin mula berhimpun di sejak jam 4 petang bagi mendesak kerajaan menghapuskan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Perhimpunan anjuran Dewan Ulama PAS itu dipenuhi dengan aktiviti ceramah serta solat hajat.

Selain itu, pelbagai gerai yang menjual makanan dan pakaian juga memeriahkan lagi himpunan tersebut.

Antara pemimpin yang hadir pada himpunan itu ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yaakob dan AJK PAS Pusat Nasruddin Hassan.