Dulu hudud tertangguh sebab 'api merah' Dr M
PAS yakin hudud diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat Mei ini dengan sokongan wakil rakyat beragama Islam termasuk Umno dan lain-lain parti biarpun tidak sempat untuk dibentangkan bagi bacaan pertama baru-baru ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata hudud bukan krisis besar dalam parti itu kerana PAS masih berpegang pada prinsip dasarnya.
Malah katanya ia tidak seharusnya dikelirukan dengan prinsip tahaluf siyasi membabitkan pakatan pembangkang yang merupakan satu strategi bagi memenangi pilihan raya dan boleh diubah selagi tidak bercanggah dengan Islam, lapor Utusan Malaysia .
“Kita akan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak sekali lagi.
“Saya fikir mungkin DAP merasakan jika isu ini berlarutan, maka, mereka mungkin tidak boleh menang banyak, jadi adalah lebih baik nampak macam mufaraqah (berpisah) sedikit dengan PAS, tetapi bukannya berpecah.
“Namun, kita yakin (rang undang-undang persendirian) boleh diluluskan. Orang Islam tidak boleh tolak hudud ini dari segi prinsipnya.
“Kita dahulukan Akta 355 ini kerana merasakan, kalau dapat majoriti mudah, kita boleh laksanakannya. Perkara ini merupakan satu tanggungjawab dan isu ini bukan baru,” beliau dipetik sebagai berkata.
Katanya lagi, sebelum ini hudud tertangguh lama kerana mendapat ‘api merah’ daripada mantan perdana menteri Tun Mahathir Momahad namun sekarang sudah mendapat kebenaran berhubung perkara itu.
“Maknanya diberi sokongan, jadi kita bersangka baiklah. Apa hendak jadi, nanti kita tengoklah sama ada mereka ikhlas sungguh (hendak melaksanakan hudud).
“Dari sudut dasar, pemimpin PAS tidak berbeza pandangan, melainkan dari segi pelaksanaannya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

