Penyelesaian bagi segala persoalan ditimbulkan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Najib Razak hanya boleh diselesaikan melalui debat terbuka, kata PAS.  

 

Ketua Penerangannya Datuk Mahfuz Omar berkata, debat jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara dibangkitkan dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.  

 

"Apa yang diutarakan oleh Dr Mahathir adalah perkara yang serius apatah lagi beliau merupakan seorang negarawan dan pernah memegang jawatan perdana menteri dalam tempoh yang lama.  

 

"Penyelesaian yang terbaik untuk persoalan tersebut adalah debat terbuka.

“Najib perlu tampil mencabar Mahathir berdepan untuk beliau perjelaskan segala persoalan tersebut," beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily .  

 

Selain itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, sekiranya debat secara terbuka diadakan, rakyat akan mendapat jawapan sebenar terhadap segala persoalan yang dibangkitkan Mahathir.  

 

"Rakyat tidak mendapat jawapan sebenar apa yang dipersoalkan sebelum ini dan apa yang dijelaskan Najib tidak selari dengan pertanyaan (Mahathir).  

 

Mahathir sejak awal bulan ini giat mempersoalkan kepimpinan Najib dengan membangkitkan pelbagai isu.

Ekoran itu, Najib  menjawab kembali persoalan itu dalam satu wawancara di televisyen.  

 

Malah, berikutan kemelut ini, Umno di peringkat bahagian juga terpaksa tampil menunjukkan sokongan terhadap  ahli Parlimen Pekan itu dengan mengadakan sesi pertemuan bersama presidennya baru-baru ini.