UPSR bocor: Mahkamah bebaskan 2 guru
Dua guru dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Seremban daripada kesalahan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana membocorkan kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September lalu.
Hakim Jagjit Singh Bant Singh berkata tiada sedikit pun bukti menunjukkan mereka diminta atau berusaha memiliki kertas peperiksaan tahun 2014 itu.
“Siapa cetuskan kebocoran kekal tidak terjawab.
“Dalang sebenar harus dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan untuk mengelakkan kebocoran terus berlaku,” kata Jagjit ketika membebaskan dua orang guru itu.
Keputusan itu dinyatakan melalui Twitter peguam M Kulasegaran, yang juga anggota Parlimen Ipoh Barat.
L Subbarau@Kamalanathan, 35, dan Murugan Palanisamy, 27, dituduh bawah Seksyen 8 (1)(c) OSA 1972.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman antara satu hingga tujuh tahun penjara jika sabit kesalahan.
Subbarau mengajar di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batang Benar, dan Murugan pula di SJKT Ladang Lenggeng.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 hingga 16 September semasa pemeriksaan UPSR.

