Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyelar Putrajaya kerana menaikkan gaji anggota Parlimen dan bukannya menaikkan gaji minimum untuk pekerja.

Seorang pemimpin parti itu S Tinagaran menggesa kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM900 kepada RM1,500 sebulan selepas kenaikan gaji anggota Parlimen.

“Kerajaan masih boleh menaikkan gaji anggota Parlimen ketika mereka berhujah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan kerana kekurangan hasil (negara).

“Jika mereka nampak kewajaran naikkan gaji, kerana mereka tidak nampak kewajaran menaikkan gaji minimum pekerja,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dewan Rakyat pada awal pagi 10 April meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun anggota Parlimen yang ditangguhkan pada sidang lalu.

Dengan lulusnya rang undang-undang itu, gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM11,000 daripada RM7,000), timbalan speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000).