Tak perlu angkuh pada penganut agama minoriti
Sisters in Islam (SIS) amat berdukacita dan kecewa terhadap tindakan sekumpulan penduduk di Taman Medan mengadakan bantahan sehingga memaksa penurunan lambang salib di sebuah gereja, seperti yang dilaporkan akhbar.
Perbuatan yang melanggar adab menghormati hak kebebasan beragama ini amatlah bertentangan dengan ajaran Islam yang mulia, serta mencabuli peruntukan dari Artikel 11 di dalam Perlembagaan Persekutuan negara ini.
Dalam sebuah negara yang majmuk seperti Malaysia, amat penting bagi setiap penganut agama untuk saling menghormati hak beribadat agama penganut lain.
Khas bagi orang-orang Islam, perundingan secara baik dianjurkan seperti maksud firman Allah dalam Surah al-Ankabut 29: 46:
“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah: Kami beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.”
Kenyataan kumpulan yang membantah adanya lambang salib gereja tersebut di kawasan yang majoritinya beragama Islam dan atas kebimbangan golongan muda Islam akan tergugat iman adalah tidak munasabah.
Lambang salib sudah menjadi identiti fizikal mana-mana gereja di Malaysia dan seluruh dunia dan bukannya sesuatu yang mempunyai kuasa ajaib untuk menggugat keimanan mana-mana orang Islam.
Sebagai orang Islam juga, mereka patut mempunyai keimanan yang sebenar bahawa Allah adalah Pemilik Kuasa yang mutlak, dan tidak perlu ada ketakutan terhadap sesuatu lambang agama lain.
Toleransi dari sejarah
Tidak pernah ada satu laporan bercetak di Malaysia yang generasi muda Islam bertukar agama selepas melihat lambang salib yang dipaparkan di bangunan gereja.
Alasan yang diberikan oleh kumpulan yang membantah tersebut lebih berbaur elemen ekstremis yang bahaya perlu dibanteras dan ditolak oleh masyarakat Malaysia.
Lambang salib sudah digunapakai berkurun lamanya dan tidak pernah ada pengajaran dari al-Quran mahupun hadis Nabi yang menyuruh umat Islam untuk membuat bantahan seperti mana yang berlaku di Taman Medan.
Malahan, Islam mempunyai kadar pertumbuhan penduduk agama yang paling tinggi di dunia menurut kajian Pew Research Centre.
SIS juga ingin memperingatkan, dalam sejarah permulaan Islam semasa berhadapan dengan tentangan dari kaum kafir Quraish di Mekah, tempat perlindungan pertama diberikan kepada ‘penghijrahan kecil’ orang Islam adalah daripada Raja Habsyah yang beragama Kristian.
Kisah riwayat hidup Rasulullah SAW juga menekankan kepada bersikap baik dengan orang-orang yang bukan Islam, contohnya layanan baik baginda sendiri terhadap jirannya seorang wanita Yahudi.
Ada juga satu peristiwa apabila sekumpulan Kristian dari Najran melawat Rasulullah SAW, dan mereka diizinkan oleh baginda untuk melakukan ibadah suatu sudut dalam masjid di Madinah manakala Rasulullah SAW dan kaum Muslimin melakukan solat jemaah di waktu yang sama.
Sebagai golongan majoriti Islam di negara ini, seharusnya kita menunjukkan sikap yang mulia dan menghormati hak beribadat kepada golongan minoriti, dan bukannya bersikap angkuh dan tidak sensitif seperti yang berlaku di Taman Medan.
SISTERS IN ISLAM sebuah NGO memperjuangkan hak-hak perempuan.

