Mat Sabu: PAS tonjol calon wakil generasi muda
PAS menonjolkan calonnya Nazri Ahmad, 40, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin sebagai wakil generasi muda memandangkan ramai pengundi di kawasan parlimen itu berumur 39 tahun ke bawah, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Beliau berharap strategi parti itu menurunkan ketua Dewan Pemuda PAS Pahang sebagai calon dapat meningkatkan jumlah undi golongan muda kepada parti itu.
Ia turut dipersetujui oleh Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang yakin jumlah undi golongan muda akan melonjak kepada parti itu memandangkan Nazri juga merupakan generasi kedua peneroka Felda, dan merupakan generasi muda tanah rancangan itu.
"Nazri tahu apa masalah yang dihadapi oleh golongan peneroka dan mampu membantu menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin semalam yang menyaksikan Nazri mencabar calon BN, Datuk Hasan Arifin.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), jumlah pengundi muda yang berumur 39 tahun ke bawah di Parlimen Rompin adalah sebanyak 24,603 orang atau kira-kira 46 peratus daripada jumlah keseluruhan 53,294 pengundi di kawasan itu
Sementara itu menyentuh mengenai ketidakhadiran pemimpin tertinggi DAP di proses penamaan calon PRK Rompin semalam, Mohamad berkata ia kerana kawasan Parlimen Rompin tidak mempunyai pengundi Cina yang ramai berbanding bumiputera.
"Pengundi bumiputera merupakan majoriti di kawasan ini dan saya juga yakin pengundi Cina tentu akan mengundi calon yang kami ketengahkan," katanya.
Mohamad sebelum itu mengetuai perarakan mengiringi Nazri ke pusat penamaan calon yang turut disertai dua Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub serta Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, selain dua Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.
Mohamad berkata PAS dalam masa yang sama akan berkempen menggunakan strategi merayu pengundi melakukan perubahan di kawasan Parlimen yang sekian lama dikuasai oleh BN.
"Strategi kami akan terus rayu rakyat untuk membuat perubahan, terutama berkaitan penderitaan mereka tentang kenaikan harga barang dan penurunan harga getah dan sawit," katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berharap proses kempen berjalan lancar dan tidak dicemari dengan isu serangan peribadi terhadap calon yang bertanding.
"Saya gembira mereka meletakkan calon anak tempatan dan saya berharap kempen dapat mengelakkan daripada serangan peribadi dan hanya berasaskan isu (berkaitan rakyat)," katanya.
Proses penamaan calon semalam menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pemangku Ketua Umno bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin mewakili BN, dan Nazri.
PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Kawasan Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
Pengundian awal akan diadakan pada 30 April dan pengundian sepenuhnya pada 5 Mei ini.
- Bernama

