Siswa UIA didakwa serta 'himpunan haram'
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendakwa tiga mahasiswanya atas dakwaan terlibat dalam perhimpunan haram.
Presiden kumpulan pelajar We Unite For Islam' (Wufi) Azzan Aznan berkata mereka dibawa menghadap pihak berkuasa universiti semalam untuk menjelaskan penglibatan dalam acara pidato “untuk membebaskan universiti” pada 7 November tahun lalu.
Aktivis Abdul Malik Abdul Razak, Muhammad Mujahid Mohd Sulaiman dan Muna Adila Che mengaku tidak bersalah dan kini menunggu tarikh pendengaran ditetapkan.
Mereka didakwa bawah Klausa 9(3) Undang-undang Disiplin Pelajar 2004, kata Azzan.
Sementara itu, Wufi membantah pertuduhan terhadap ketiga mahasiswa itu dan mendakwa tindakan kampus bersifat politik yang mahu melemahkan gerakan serta idealisme mahasiswa.
Jelasnya lagi, tindakan mengheret mahasiswa tersebut bertentangan dengan hak kebebasan berhimpun dan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Mereka bukannya melakukan jenayah atau salah laku moral sebaliknya hanya melunaskan sebahagian daripada tugas sebagai mahasiswa untuk menjadi agen penerangan kepada masyarakat khususnya mahasiswa dan sebagai ‘semak dan imbang’ kepada parti politik dan kerajaan,” kata Azzan.
Sehubungan itu, Wufi mendesak Penolong Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam meletak jawatan kerana didakwa mereka menjadi boneka kepada "tangan-tangan ghaib" menyekat kebebasan bersuara dan berkumpul.
Selain itu, kumpulan mahasiswa itu juga mendesak supaya universiti uty dibebaskan daripada cengkaman dan campur tangan politik sekaligus menggugurkan pertuduhan terhadap tiga mahasiswa tersebut.

