'Perlis Maju 2015, tapi ada 1 hospital saja'
NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) terkilan dan amat kecewa dengan keputusan Putrajaya yang membatalkan projek pembinaan Hospital Padang Besar atas alasan situasi ekonomi.
Penyelaras SAMM Perlis Asrul Nizam Abd Jalil berkata alasan yang diberikan menunjukkan kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menguruskan ekonomi dan kewangan negara.
"Putrajaya boleh membeli sebuah jet baru yang bernilai ratusan juta ringgit dan juga boleh menyediakan kredit tunggu sedia bernilai RM950 juta kepada 1MDB tetapi tidak langsung memikirkan kesihatan dan kesusahan rakyat Perlis yang terpaksa bergantung harap kepada sebuah hospital sahaja," katanya.
Bernama melaporkan Exco Kemudahan & Prasarana Awam, Kemajuan Luar Bandar & Pembasmian Kemiskinan dan Kesihatan negeri, Jafperi Othman berkata pembinaan hospital baru di Padang Besar itu akan dinilai semula berikutan kedudukan ekonomi negara yang tidak mengizinkan.
Menurutnya Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri terpaksa membuat keputusan itu walaupun kerajaan negeri meminta projek tersebut diberi keutamaan bagi menampung keperluan pembangunan Padang Besar.
Katanya kerajaan negeri telah menyediakan satu tapak di Padang Besar bagi pembinaan hospital baru yang merupakan janji BN dalam pilihan raya umum ke-13 pada 2013.
Mengulas lanjut, Asrul turut membidas kerajaan negeri yang sepatutnya tegas mempertahankan rancangan pembinaan Hospital Padang Besar.
Ini kerana, katanya, Perlis hanya mempunyai Hospital Tuanku Fauziah di Kangar yang mempunyai 404 buah katil sahaja.
Katanya lagi, jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung pesakit kerana perkhidmatan kesihatan diberikan kepada seluruh penduduk Perlis malahan penduduk Kodiang dan Sanglang, Kedah.
Slogan retorik, mimpi
"Kesesakan pesakit di hospital tersebut sememangnya menjadikan projek Hospital Padang Besar adalah sesuatu yang amat mendesak dan kritikal.
"Selain itu, semenjak zaman Shahidan Kassim menjadi menteri besar lagi telah mengumumkan rancangan Perlis Maju 2015.
"Tetapi adakah logik dalam menuju ke arah menjadi sebuah negeri maju, Perlis hanya mempunyai sebuah hospital sahaja?" kata Asrul.
Sehubungan itu, Asrul mengajak rakyat negeri itu sedar bagaimana kerajaan dianggap menganaktirikan Perlis yang 'simpanan tetap' BN itu dinafikan hak mendapat hospital baru.
"Tidak semua rakyat Perlis mampu untuk menerima rawatan di pusat perubatan swasta.
"Sebagai sebuah kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang menjaga kebajikan semua strata ekonomi rakyat," katanya.
Bersetuju dengan Asrul, Ketua AMK Perlis Mohd Sharun Radzi berkata sekiranya hospital itu dibina, ia dapat menjimatkan wang dan masa rakyat untuk mendapatkan rawatan apatah lagi dalam keadaan mereka dibebani dengan cukai barangan dan perkhidmatan.
"Slogan keramat 'Rakyat Didahulukan' yang sering dicanang oleh kerajan BN nampaknya hanyalah retorik serta mimpi sahaja.
"Justeru AMK Perlis menggesa agar kerajaan memberi keutamaan untuk membina hospital Padang Besar, agar rakyat serta pembayar cukai dapat merasai kembali nilai setiap sen yang mereka berikan keapada kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

