Cadangan pilihan raya lebih awal bagi membersihkan tanggapan negatif terhadap diri, keluarga dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bukan pilihan tepat atau cadangan positif, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"(Pilihan raya awal) itu bukan jalan penyelesaian, adakan pilihan raya awal tidak menjanjikan sesuatu yang baik.

"Ketika Najib diserang dengan persepsi negatif, pemimpin Umno sepatutnya bingkas mempertahankan kedudukan presiden parti,” kata ketua Umno Cheras itu.

Syed Ali juga 'pelik' mengapa timbul desakan supaya Najib selaku presiden Umno membubarkan Parlimen ketika ini.

Sedangkan, katan pemimpin Umno Wilayah Persekutuan itu, seluruh pemimpin Umno bekerja keras mengukuhkan keyakinan rakyat demi parti dan kerajaan.

"Kita semestinya mahu kekalkan kemenangan jika Parlimen dibubarkan, mengapa kita sengaja buka ruang kepada pembangkang.

"Mengapa biarkan Najib selaku perdana menteri dan juga presiden Umno diserang hebat oleh pembangkang," katanya.

Perang persepsi

Beliau mengulas kenyataan MP Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggesa perdana menteri mengambil jalan singkat membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya bagi mendapatkan mandat baru.

Menurut laporan blog Umno Cheras, Syed Ali menasihati pemimpin Umno supaya tidak mudah mengalah dalam perang persepsi itu.

Mengulas tentang keperluan Najib mendapat mandat baru, beliau berkata perkara itu bukan penyelesaian kerana bersifat sementara.

"Saya tidak berpandangan seperti itu, bubarkan Parlimen supaya pilihan raya baru terlebih awal bukan penyelesaian, ia bersifat sementara.

"Memang Najib boleh mendapat mandat baru daripada rakyat, tetapi apakah itu akan memastikan sokongan kepada Umno dan BN akan berkekalan," katanya.