Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya menarik perhatian pembaca kepada komentar Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang mempersoalkan asas kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan ke atas Malaysia yang dibuat pada sesi pleno di Persidangan Invest Malaysia 2015 sebelum ini.

Zeti membandingkan negara serantau lain dan mendakwa Malaysia sekurang-kurangnya setanding, malah mungkin lebih baik di segi prospek pertumbuhan dan prestasi serta ‘fundamentalnya’.

Persidangan dua hari itu dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia dan CIMB Group untuk kali ke-11 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Membaca dari teks ucap utama Najib yang juga menteri kewangan lazimnya memberi anda satu gambaran ekonomi dan kewangan negara ini sangat baik dan dalam unjuran mencapai negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi pada 2020 atau lebih awal.

Kalau sudah baik dan sihat semuanya, mengapa badan badan penarafan seperti Fitch Ratings dan juga para 'penganalisis' termasuk kami pembangkang, perlu sibuk dan membuat ramalan dan telahan negatif?

Sebelum itu, apa benda ‘penarafan’ yang mereka hebohkan sangat tu? Sedikit kuliah pencerahan Kewangan 101. Apa kepentingannya? Tidak susah sangat nak faham, bukanlah rocket science .

Ringkasnya, penarafan kredit atau credit rating adalah penilaian ke atas kemampuan penghutang membayar semula hutang. Penarafan kredit dijalankan ke atas negara (penarafan kredit sovereign ) dan juga syarikat, yang menerbitkan sekuriti hutang seperti bon dan sukuk (bon Islam).

Contoh agensi ialah Standard & Poor's, Moody's dan Fitch Ratings termasuk sebuah syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa yang bernama Rating Agency Malaysia (RAM).

Penarafan kredit memberi markah atau penarafan contohnya dengan markah AAA, AA+, BBB+, B- dan seterusnya. Semakin rendah penarafan kredit semakin berisiko tinggi untuk pelabur melabur (membeli dan berisiko tinggi untuk default atau tidak membayar hutang atau bon).

Selain daripada itu, agensi penarafan kredit juga meramal atau memberi pandangan mereka tentang keadaan risiko hutang sesebuah negara sama ada positif, negatif atau stabil.

Nah, di sinilah yang dipertikaikan Gabenor BNM itu. Sementara Moody’s memberi penarafan positif, Standard and Poor (S&P) mengesahkan penarafan stabil untuk Malaysia. Fitch Ratings pula meletakkan penarafan Malaysia sebagai negatif.

Untuk pengetahuan pembaca, penarafan Malaysia kini berada pada A-/A3. Ancaman untuk diturunkan satu notch atau tangga oleh Fitch Ratings bermakna meletakkan Malaysia pada kedudukan BBB+/Baa1.

Apakah makna semua ini? Secara impaknya, kalau berlaku penurunan atau downgrade penarafan kredit.

Kesannya antara lain, terhadap nilai matawang ringgit Malaysia, pasaran bursa saham dan juga nilai pasaran bon serta pastinya kenaikan kos pinjaman.

Boleh juga berlaku penjualan saham dan bon oleh pelabur luar ( sell-off in both equities and bonds ) secara knee-jerk atau mendadak kerana mereka cemas dan takut tentang keupayaan kewangan negara.

Kesan-kesan awal sudah mula dirasai semenjak Fitch menurunkan kredit Malaysia sebagai negatif Julai tahun lalu dan semakin ketara semasa nilai ringgit terus susut tambahan dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Sebagai contoh khusus, CIMB melaporkan bahawa kos satu instrument insuran lima tahun, untuk risiko pinjaman tak berbayar, yang bernama Credit Default Swap (CDS) telah mengalami kenaikan kos sebanyak 122 basis mata atau 1.22 peratus.

Perbandingan kos CDS juga dibuat dengan jiran Indonesia dan Thailand.

Namun Najib dan Zeti tahu rakyat sebenarnya tak faham pun apa yang dipertikaikan tentang penarafan dan kesan terhadap kewangan negara!

Ya, yang mudah difahami rakyat hari ini ialah kewangan negara tidak diurus dengan baik sehinggakan kerajaan secara wajib, memungut cukai (GST) dari semua rakyat.

Tidak mengambil kira umur, pendapatan dan kekayaan, warga emas atau bayi, status pekerjaan–pesara atau bekerja penuh masa atau kerja sendiri atau kerja kampung; mengambil upah petik kelapa sawit atau buah kelapa, golongan asnaf atau jutawan, orang kurang upaya (OKU) atau yang sihat walafiat.

Yang ini rakyat faham dan kini marah!

Rakyat hari ini meletakkan seluruh kepincangan mentadbir urus kewangan negara dipersalahkan kepada kepimpinan Umno-BN yang kini bawah kepimpinan Najib.

Untuk Zeti, jawab persoalan yang masih tidak terjawab sehingga kini yakni laporan tentang aliran keluar dana secara haram sebanyak RM1.2 trilion sejak 2002, seperti yang didedahkan oleh Global Financial Investment (GFI), yang langsung tidak diambil apa-apa tindakan oleh BNM!

Untuk Najib pula selaku yang berdegil untuk kekal sebagai menteri kewangan, walau pun jelas ketidakupayaannya di segi itu dan lebih jelas lagi ketidakupayaannya di segi lain, mengapakah 1MDB tidak dipaksa datang untuk menghadiri Invest Malaysia Forum kali ini?

Kehadiran 1MDB pastinya mampu ‘memulihkan’ sindrom t rust- d eficit (hilang kepercayaan) yang sedang melanda negara malang ini.

Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak, selaku penganjur bersama, secara sinis menyebutkan alangkah baik kalau ‘ elephant in the room ’ (gajah di depan mata) di negara ini, maksudnya 1MDB berani hadir sendiri dan membuat penjelasan.

Ini termasuk menjawab pendedahan dibuat oleh Sarawak Report .

Najib hanya menyebut hal ini di Parlimen (11Mac) berhubungan pemindahan AS$1.103b (RM3.65b) daripada akaun 1MDB Cayman Islands melalui Singapura.

Zeti dan Najib tidak perlu terlalu gusar dengan ancaman Fitch ratings untuk menurunkan atau downgrade sovereign rating Malaysia.

Sesungguhnya, kita sendiri telah melakukannya dengan tata kelola dan tadbir urus kewangan negara yang hilang rasa kebertanggunjawapan dan ketelusan yang hakiki, lantas boros, tiris dan bolot kekayaan oleh segelintir “super kaya”.

Jangan asyik hendak atau diperagakan fundamental yang baik sahaja sebab rakyat melihat yang sebaliknya, yakni yang jelek dan diselubungi.

Sebenar-benarnya rakyat yang celik juga tahu apa masalahnya.

Meminjam kata-kata Shakespeare, isunya ialah “ to be or not to be ” (nak buat atau tak nak). Itu Persoalannya!


DR DZULKEFLY AHMAD pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Lihat Komen
ADS