Seorang ibu yang sarat mengandung lapan bulan daripada 104 rakyat Malaysia yang selamat tiba di tanah air dari Kathmandu, berkongsi pengalamannya menempuh detik-detik cemas semasa gempa bumi menggegarkan bumi Nepal, Sabtu lepas.  

Sheila Vandalasamy, 34, yang bekerja di bahagian Imigresen Kedutaan Malaysia di Nepal pulang bersama suaminya, A Kumaraw, 37 dan 102 lagi warga Malaysia yang tiba dengan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

"Ini kali pertama kami mengalami kejadian ngeri melibatkan gempa bumi, sebelum ini memang ada gegaran, tetapi ia bersaiz kecil. Pagi itu (Sabtu) secara tiba-tiba rumah kami di Kathmandu bergegar. Kami segera bergegas keluar dari rumah setelah rumah bergoyang dan barangan turut pecah dan jatuh ke lantai," katanya.

Sheila berkata sebelum pasukan penyelamat tiba, setiap saat amat menakutkan berikutan ada gegaran kecil susulan dan semua bangunan bergoyang.

Katanya, pengalaman menyaksikan mayat bergelimpangan di sebalik runtuhan dan teriakan orang ramai yang cuba menyelamatkan diri selain mencari orang tersayang, tidak akan dapat dilupakannya.

Bangunan bergegar

Sementara itu, Nazahiyah Mohd Hadzir, 30, seorang daripada 13 peserta Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Kelab Eksplorasi Tujuh Benua yang ditemui Bernama di lapangan terbang berkenaan berkata ketika kejadian, beliau sedang membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit di bandar itu.

Nazahiyah berkata secara tiba-tiba bangunan kedai berkenaan bergegar dan beliau hampir tercampak keluar dari kedai ketika cuba menyelamatkan diri.

"Saya lihat orang ramai bertempiaran lari, dan saya mendengar orang menjerit earthquake (gempa bumi)... saya nampak kedai mulai retak dan runtuh.

Terdapat mayat bergelimpangan," katanya.    

Kesemua rakyat Malaysia yang berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu, semalam (28 April).

Hadir menyambut ketibaan mereka adalah anggota keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di pangkalan TUDM sejak petang semalam.

Usaha menyelamat

Penerbangan pesawat TUDM berkenaan ke Kathmandu turut membawa 30 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta 20 pegawai perubatan daripada MERCY Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bagi membantu usaha menyelamat mangsa gempa bumi berkenaan.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.

Setakat ini, tragedi gempa bumi paling buruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu, dilaporkan telah mencatat kira-kira 5,000 kematian dan lebih 8,000 orang cedera.

Sementara itu, tidak keterlaluan kalau dikatakan keputusan jurulatih untuk melawat tempat kelahiran Gautama Buddha di Lumbini sejurus selepas mendarat di Kathmandu pada pagi hari Sabtu telah menyelamatkan nyawa 19 rakyat Malaysia.

Rombongan Malaysia terdiri daripada 16 pengamal seni mempertahan diri berusia lima hingga lima belas tahun dan tiga jurulatih dewasa dalam perjalanan ke Lumbini, kira-kira 200 kilometer dari Kathmandu, bila gempa bumi dengan kekuatan 7.9 magnitud melanda negara Pergunungan Himalaya ini.  

Kumpulan itu adalah anggota Persatuan Karate Kobe Osaka cawangan Kuala Lumpur dan Selangor. Sembilan daripada mereka adalah anak-anak perempuan dan gadis, dan mereka dari Kuala Lumpur dan Klang.

Terkandas di Lumbini

Walaupun kesemua 19 orang itu selamat, mereka terkandas di Lumbini sejak Sabtu dan telah meminta bantuan Kedutaan Malaysia bagi mengatur penerbangan pulang secepat mungkin. 

Ketua jurulatih M.Kumaresan ketika dihubungi memberiahu Bernama anak-anak itu punya semangat tinggi dan ibu bapa mereka telah diberitahu mengenai perkembangan terbaru.   

Kumaresan berkata ketika gempa berlaku, mereka berada dalam bas dan dapat merasakan gegaran. 

Katanya, perjalanan dari Kathmandu ke Lumbini biasanya mengambil masa lima jam tetapi pada hari itu mengambil masa hampir 13 jam akibat keadaan lalu lintas yang kelam kabut ekoran tanah runtuh akibat gempa bumi itu. 

Oleh kerana Lumbini tidak terjejas oleh gempa, rombongan itu masih boleh mendapatkan tempat tinggal di sebuah hotel tempatan. 

Kumarasen juga berkata pada peringkat awal beliau menghadapi kesulitan menghubungi kedutaan dan ibu bapa kanak-kanak kerana talian telefon dan internet terganggu. 

"Setiba di Lumbini, saya dan seorang lagi jurulatih M Tilaga cuba hubungi beberapa syarikat penerbangan untuk menempah tiket pulang segera tetapi tidak berhasil," kata jurulatih karate sepenuh masa itu.

"Kami kerisauan di sini di Lumbini, dan merancang pulang ke Kathmandu hari ini dengan bas dan pemandu kami menyatakan kebanyakan jalan ke Kathmandu masih boleh dilalui. 

"Bagaimanapun, kami sentiasa berhubung dengan kedutaan mengenai aturan perjalanan ke Kuala Lumpur," kata Kumaresan.

Beliau berkata, pegawai-pegawai di kedutaan dan Wisma Putra amat responsif dan memberi jaminan bantuan akan diberi segera. 

Rombongan itu sepatutnya mengambil bahagian di Kejohanan Goju Karate Asia pada Isnin dan telah merancang melakukan latihan bersama pasukan tempatan sehari sebelumnya.   

- Bernama