Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, khutbah Jumaat di Wilayah Persekutuan hari ini menyeru masyarakat tidak memilih pemimpin yang menggadaikan agama.

“Sesungguhnya pemimpin yang baik ialah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat, tidak menggadaikan agama kerana kepentingan, berilmu, mempunyai visi dan pandangan jauh untuk membina bangsa dan negara.

“Ingatlah bahawa tanggungjawab rakyat ini sekiranya tidak diberikan kepada mereka yang benar benar berhak, nescaya masa depan negara akan hancur dan hidup rakyat akan merana,” menurut teks khutbah.

Mimbar mengingatkan kepada syarat kelayakan pemimpin, iaitu berupaya secara jasmani, undang-undang dan ilmu selain adil dan menguasai ilmu siasah, peperangan dan pentadbiran.

“Justeru, sebagai umat Islam, janganlah kita terpengaruh dengan emosi dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan kerana menyesal kemudian hari tiada gunanya.

“Ingatlah bahawa keputusan kita ini menentukan masa depan kita. Di tangan kitalah yang menentukan nasib anak cucu kita. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang ingin melihat menang sorak tanpa memikirkan kampung lamanya mungkin tergadai.

“Janganlah kita memilih untuk berpatah arang, berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang.

“Kita seharusnya menghayati semangat ‘biduk berlalu kiambang bertaut,” menurut teks khutbah itu lagi.

Pilihan raya kecil Rompin akan diadakan pada 5 Mei ini manakala Permatang Pauh pula dua hari selepas itu.