Dalam pilihan raya kecil parlimen Rompin yang baru berlangsung pada hari Isnin lalu, kemenangan berpihak pada BN.

Dalam pada itu, ramai warga maya khususnya pengguna Facebook menyalahkan Orang Asli kerana tetap menyokong BN walau parti itu gagal menjaga hak dan kepentingan masyarakat ini, termasuk tanah adat mereka.

Saya juga ingin melahirkan kekecewaan terhadap masyarakat luar yang menghina Orang Asli, Orang Asli pilih BN bukan suka-suka tetapi kerana tidak ada pilihan lain dan termakan janji-janji yang ditaburkan oleh pihak tertentu dan demi kemajuan dan kesejahteraan.

Akibat keinginan itu, Orang Asli teruk dihina oleh penyokong parti lawan.

Kritikan seperti ini sukar untuk ditangkis. Jika kita lihat, bilangan pengundi Orang Asli di Rompin sekitar 7,000 orang tetapi yang mengundi pembangkang dianggarkan tidak sampai 200 pengundi.

Jumlah inilah yang menyumbang kepada 23,796 undi yang diperolehi BN, berbanding dengan undi diperolehi PAS sebanyal 14,901.

Saya boleh mengenalpasti beberapa faktor yang mungkin berjaya memujuk pengundi Orang Asli agar cenderung memilih BN berbanding BN.

Semasa tempoh kempen, BN antara lainnya membayar saham kepada peserta projek tanaman semula berkelompok (TSK), mewartakan tanah dan berjanji untuk menyalurkan air bersih.

Selain itu, Orang Asli mungkin memilih BN kerana kurang arif mengenai kesan jangka panjang dari dasar kerajaan.

Masyarakat ini mungkin khuatir akan menerima kesan lebih buruk jika memilih pembangkang – takut keluar mulut naga masuk mulut harimau.

Satu lagi faktor adalah kebimbangan ke atas pelaksanaan hukum hudud. Melihat kepada cara PAS mentadbir Kelantan, nampaknya parti Islam itu tidak menghormati hak Orang Asli di sana.

Usaha PAS untuk melaksana hudud di Kelantan menjadi isu pokok yang menakutkan Orang Asli.

 

Seterusnya, sebagai penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Pahang, saya ingin membangkitkan semula mengenai tuntutan masyarakat ini agar kerajaan mengiktiraf tanah adat kami di negeri ini, termasuk di daerah Rompin.

Kawasan tanah ada yang perlu diiktiraf ini termasuk Kampung Denai, Kampung Sungai Mok, Kampung Sawak, Kampung Jemeri dan Kampung Ganuh.

Banyak kes pencerobohan tanah berlaku di kawasan ini sehingga ada Orang Asli yang ditahan beberapa kali oleh pihak polis kerana mempertahan tanah adat mereka pada tahun lepas.

 

Kes ini amat membimbangkan kerana Orang Asli berdepan masalah kehilangan tanah adat mereka.

Perkara ini sepatutnya tidak berlaku memandangkan Orang Asli setia kepada kerajaan yang ada sekarang iaitu di bawah BN dari dulu sehingga sekarang

 

Oleh  yang demikian, saya menyeru kepada pemimpin BN di daerah Rompin agar dengan segera menunaikan janji kepada masyarakat Orang Asli sama ada bekalan air bersih dan pewartaan tanah adat mereka mengikut kawasan yang dituntut.


SHAFIE DRIS penyelaras Jaringan Kampung Orang Asli Pahang.