Selepas sambutan memberangsangkan hasil lawatannya ke Sabah, perdana menteri hari ini terus mendapat sokongan pemimpin negeri itu.

Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata tiada pemimpin lebih baik daripada Datuk Seri Najib Razak untuk negeri di bawah bayu itu.

“Tiada pemimpin, dulu dan sekarang, yang mempunyai rekod kerja lebih baik daripada Najib dalam membantu pembangunan dan rakyat Sabah.

“Tiada,” tulis Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu di Twitter.

Sokongan itu dinyatakan ketika kepimpinan Najib ( kiri ) diasak berterusan, terutamanya dalam isu berkaitan syarikat pelaburan cetusan ilhamnya 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

Najib pagi semalam menghadiri majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kampung Pirasan, Kota Belud.

Beberapa jam selepas itu beliau hadir ke perhimpunan Solidariti Rakyat Sabah, Tawau, yang dilihat antara usaha bagi mempamerkan kekuatan kepada pengkritiknya, termasuk perdana menteri 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di Tawau Najib menegaskan tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

Kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama perdana menteri di Padang Perbandaran Tawau.