Bekas Ketua Wiranita Pertubuhan Perkasa Bumiputera Malaysia (PERKASA), Raihan Sulaiman Palestin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya awal pagi ini.
Raihan, 49, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Rabu lepas.
Anaknya Mohamad Ruzainie Rizman Mohamad Radzi berkata Raihan dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung dan kemudian mengadu sakit kepala.
Hasil pemeriksaan doktor terhadap Raihan mendapati berlaku pendarahan pada otaknya sebelum beliau koma sejak Rabu.
Jenazah Raihan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di Putrajaya, kira-kira 12 tengah hari tadi, selepas disolatkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya.
Allahyarham Raihan meninggalkan seorang suami dan empat anak.
Semasa pemilihan Umno pada Oktober 2013, Raihan membuat kejutan apabila mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno mencabar penyandangnya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bersama seorang lagi calon Datuk Maznah Mazlan.
Sementara itu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali ketika dihubungi Bernama menyifatkan Raihan sebagai seorang wanita yang berani, gigih, berdedikasi selain mempunyai prinsip diri yang tegas.
"Contohnya semasa beliau nak bertanding jawatan Ketua Wanita Umno pada 2013, saya telah menasihatinya supaya jangan bertanding.
"Tetapi, beliau tetap bertegas mahu bertanding walaupun kemungkinan tidak mendapat sebarang undi atau sokongan anggota parti," katanya.
- Bernama
