Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi akui suka Najib diberi peluang
Diterbitkan:  May 12, 2015 1:45 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Presiden PAS berkata, beliau "suka" jika Datuk Seri Najib Razak dibiar menghabiskan tempoh mandatnya sebagai perdana menteri berbanding kecenderungan sesetengah pihak yang menuntut beliau meletak jawatan.

Bercakap kepada media di Kuala Terengganu hari ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata jika seseorang memiliki kelemahan, ia perlu dinyatakan dalam bentuk nasihat dan menyelesaikan masalah.

"Ya, saya suka (Najib) diberi peluang biar habis tempoh penggalnya," katanya dipetik Harakahdaily .

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang itu, ketika BN dibebani dengan pelbagai masalah, PAS menyerahkan kepada rakyat untuk "menghukum parti pemerintah" kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

Tak mahu tuding jari

Kata Abdul Hadi semua perdana menteri sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai masalah masing-masing.

Menurutnya, dia tidak mahu menuding jari kepada sesiapa.

"Biar rakyat menghukum parti, bukannya menghukum orang (individu)," katanya.

Sementara itu The Star Online melaporkan Abdul Hadi mahu Najib terus berkhidmat sebagai perdana menteri kerana beliau dipilih melalui sistem yang adil.

Katanya, Najib tidak harus tunduk pada tekanan dan harus diberi peluang menyelesaikan masalah dihadapi.

Abdul Hadi juga berkata Najib patut diberi peluang kedua untuk menghabiskan tugasnya sebagai pemimpin nombor satu negara sehingga cukup penggal perkhidmatan.

Anggota Parlimen Marang berkata tidak guna memberi tekanan kepada Najib susulan kontroversi sekitar 1MDB, syarikat pelaburan negara cetusan ilham perdana menteri.

Beliau juga dilaporkan berkata, memberi tekanan supaya Najib berundur tindakan memalukan kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

Lihat Komen
ADS