Pairin: Pastikan sempadan tak mudah dibolosi PATI
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meminta supaya kerajaan bertindak lebih tegas dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan sempadan seterusnya mengelak daripada mudah dibolosi oleh Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI).
Beliau merujuk kepada percubaan kira-kira 1,000 PATI dari Bangladesh dan Myanmar, termasuk etnik Rohingya untuk memasuki negara melalui perairan Langkawi di Kedah membuktikan keselamatan sempadan tidak boleh dipandang ringan, lapor Bernama.
"Saya berharap Malaysia dapat menggunakan pentas ASEAN untuk mengadakan dialog diplomatik untuk bersama-sama berbincang, memperhalusi seterusnya mewujudkan sistem lebih sistematik untuk mengatasi masalah kehadiran PATI," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Pengurusan Teknikal untuk mengkaji cadangan-cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Sabah, di Kota Kinabalu semalam.
Pairin yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut, optimis bahawa ia boleh menyiapkan laporan menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan cuba menyelesaikan tugasnya secepat mungkin dengan memasukkan semua idea dan cadangan yang bernas untuk menangani isu pendatang asing di Sabah.
Apabila siap kelak, beliau berkata laporan itu akan menyediakan senarai cadangan dan pelan tindakan ke arah menangani masalah PATI di Sabah.
"Bagaimanapun, kami tidak mahu terburu-buru dan hanya sekadar melengkap dan menyiapkan laporan, kami perlu serius dan cadangan-cadangan itu haruslah praktikal," katanya.
Beliau berkata pengundi hantu, pendaftaran semula penduduk Sabah dan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan merupakan antara isu yang perlu diambil kira untuk dimasukkan dalam pelan tindakan.
- Bernama

